Majlis Anugerah Blog Asia Pasifik 2011


MEMILIKI hobi sama tetapi topik berbeza. Wadah yang mempunyai cara penyampaian menarik dan kreatif untuk tatapan pembaca membuatkan nama empat wanita ini disenaraikan dalam calon penerima Anugerah Blog Asia Pasifik anjuran Nuffnang, baru-baru ini.

Biarpun tidak memenangi sebarang anugerah, tetapi mereka mempunyai peminat tersendiri menerusi laman blog yang ditubuhkan dan menjadi popular dalam kalangan pembaca maya walaupun bukan daripada golongan artis terkenal.

Chee Ching, Joyce Wong Jing Yen, Suanie Tew dan Intan Suhana Juhari, semuanya mempunyai idea kreatif dan pelbagai cerita menarik menerusi pengalaman yang ditimba untuk dikongsi bersama pembaca serta peminat menerusi laman blog masing-masing.

Penulis blog termuda di kalangan mereka, Chee Ching yang berusia 23 tahun mempunyai alasan untuk berkongsi segala pengalaman dengan peminatnya.


Diari maya itu yang ditubuhkan sejak 2005 cuba dihidupkan dengan kehadiran karakter kartun bagi mewakili dirinya untuk berkongsi kisah sepanjang hari yang berlaku dalam hidupnya.


Kerjayanya sebagai pereka dalam industri pengiklanan dan banyak melayari Internet secara tidak langsung mencetuskan idea kepada Chee Ching untuk memiliki diari di alam siber.

Mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam terhadap perkara baru akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membuka laman blog sendiri yang mendapat perhatian daripada pembaca.

“Saya menjadikannya sebagai medium untuk menulis mengenai perasaan yang tersirat dalam hati ketika itu memandangkan ia sebenarnya agak mudah untuk dikawal selia.

“Setakat ini saya mempunyai pengikut atau peminat seramai 300 hingga 400 orang dan sangat bersyukur kerana memiliki pembaca sendiri.

“Bermula dengan hobi yang kini turut dijadikan sebagai portfolio diri, kombinasi yang disatukan antara hobi dan minat berjaya dilakukan pada masa sama,” kata gadis berasal dari Ipoh yang gemar menonton drama serta rancangan animasi.

Tambah Chee Ching lagi, membuka laman blog tidak hanya bersandar pada minat dan hobi saja malah dia menjadikannya sebagai tempat melatih diri untuk memantapkan kemahiran dimiliki.

Selain berkongsi minat dan hasil kerjanya, Chee Ching turut muat naik lagu-lagu Korea serta perkara yang menarik dalam hidupnya seperti melukis yang sering dilakukannya.

Menerusi blog, gadis muda ini turut memulakan projek yang dipanggil 365 Art, idea tercetus berdasarkan misi untuk menjadikan dokumen yang dikumpul seterusnya dilakar menjadi seni kreatif.

Dia bercadang untuk mengabadikan ciptaannya itu dalam bentuk buku atau kalendar apabila projeknya itu siap sepenuhnya kelak.

Chee Ching berkata dia sangat menghargai setiap komen daripada peminatnya kerana menganggap ia mempunyai makna yang positif dalam memantapkan laman blognya - http://cheechingy.com.

Sementara itu, menurut pemilik laman blog www.KinkyBlueFairy.net, Joyce Wong Jing Yen, dia menceburkan diri dalam dunia penulisan di alam maya pada 2004.

Menurutnya lagi, sejak berusia 10 tahun lagi dia sudah memiliki diari dan menganggap menulis di blog sebagai platform baru untuk meneruskan hobinya itu.

Hobi yang mendalam ditambah gemar mengedit gambar dan penulisan pada masa lapang membuatkan Jing Yen meneruskan minat untuk menulis apatah lagi jika membabitkan aktiviti yang dijalankan.

Berusia 28 tahun, Jing Yen menjelaskan konsep laman blog miliknya itu lebih menekankan gaya hidup kerana ia ditulis berdasarkan aktiviti yang dilakukan oleh gadis bandar dan bagaimana mereka menghabiskan duit.

“Ini kerana saya banyak merasai kehidupan sebenar sebagai manusia yang bergerak aktif melakukan pelbagai aktiviti. Kerja, melancong, terbabit dalam produksi filem, menguruskan majlis dan parti - semuanya sudah saya lalui.

“Saya rasa sungguh bertuah kerana dapat merasai kesemua pengalaman ini membuatkan saya cuba mencari medium terbaik untuk menyimpan kenangan itu dan pada masa sama dapat berkongsi dengan orang lain.

“Saya tidak sangka ramai yang gemar membaca penulisan mengenai pengalaman peribadi saya. Pengunjung laman web saya mencecah sehingga 75,000 setiap bulan dengan 25,000 peminat.

“Semua ini saya lakukan sebagai hobi dan mungkin satu hari nanti akan menjadi pekerjaan sepenuh masa saya. Ini kerana saya pernah menjadikannya sebagai kerja sepenuh masa selama dua tahun sebelum mencari alternatif lain mempelajari kemahiran berbeza disebabkan mudah jemu dengan perkara sama.

“Di samping itu, sesiapa saja boleh memberikan idea atau menceritakan kisah mereka di blog saya yang banyak menulis kenangan ketika melancong, muzik, fesyen, parti dan makan,” katanya yang menulis untuk keseronokan bukan menjana pendapatan.

Tambah Jing Yen, dia pernah dijadikan sumber inspirasi peminatnya apabila menerima emel yang menyatakan kisahnya banyak membantu memperbaiki kehidupan mereka supaya menjadi lebih sempurna, baik dan ceria.

Tidak memikirkan dirinya berbeza dengan orang lain, namun dia menganggap kata-kata pujian yang diberikan sebagai satu penghargaan buat dirinya.

Suanie Tew yang berasal dari Batu Pahat, Johor pula mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi bersama pembaca hasil tulisannya.

Bekerja sebagai penulis iklan, Tew mula menceburkan diri dalam dunia penulisan di Internet sejak 1999 yang ketika itu memiliki laman web yang dikemas kini sama seperti laman blog dan pada 2000 ia bertukar format seperti sekarang.

Dia belajar cara menghasilkan laman blog kreatif dan mengikut keinginannya daripada rakan yang mahir dalam bidang berkenaan.

Hobi yang diminatinya itu diteruskan sehingga kini. Disebabkan penulisannya yang bersifat tidak formal, Tew berasa tekanannya seolah-olah terbang apabila dapat berkongsi pengalamannya bersama pembaca.

“Memulakan penulisan blog sebagai hobi dan penting untuk saya mengekalkan matlamatnya. Namun, selepas menyertai Nuffnang, ia sedikit sebanyak memberikan sedikit duit poket pada diri.

“Laman blog yang saya buka lebih banyak bersifat individualistik. Melalui www.suanie.net, saya mendapat banyak manfaat seperti menjadi sebahagian ahli kumpulan amal tempatan, Twestival.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk mengemaskini laman blog kerana banyak masa dihabiskan bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Namun apabila menerima tindak balas positif daripada pembaca yang gembira membaca kisah saya, timbul pula keinginan untuk menulis dengan lebih serius lagi,” katanya yang turut mempunyai laman web khas untuk penyanyi terkenal, Micheal Jackson kerana meminatinya.

Berbeza pemilik nama panggilan Sue Anna Joe yang tampak manis bertudung ini, pengalamannya dalam dunia fotografi dikongsi bersama pembacanya lantaran terlalu meminati bidang membabitkan lensa kamera.

Pernah membuka studio sendiri di Kelana Jaya namun ia terpaksa ditutup kerana perlu memberikan lebih fokus terhadap pembelajaran dan keluarga ketika itu.

Berusia 29 tahun, wanita manis dengan nama sebenar, Intan Suhana Juhari ini berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Dia mula menulis jurnal dalam Bahasa Inggeris menerusi laman komuniti seni digelar DeviantART.

Selepas itu, dia mengorak langkah sendiri dengan menggunakan platform penulisan blog apabila mendapat inspirasi ketika bekerja di KL Motion Picture.

“Ketika itu saya banyak menulis skrip. Tertarik dengan penulisan dan olahan ceritanya, saya cuba untuk mula menulis blog dalam Bahasa Malaysia pula.

“Kemudian, blog saya mula berkembang dan menambahkan laman blog lain yang berkaitan dengan minat dalam dunia fotografi.

“Saya belajar sendiri cara membuat laman blog dan berjaya membukanya pada 2003.
Namun saya hanya mula pada 2006 untuk berkongsi pengalaman ketika mengambil gambar, panduan dan hasilnya.

“Banyak yang boleh diceritakan melalui fotografi. Kadang kala perkara yang sukar diceritakan dengan perkataan boleh disampaikan dengan mudah melalui gambar,” katanya yang mempunyai minat mendalam dalam dunia fotografi.

Tambahnya lagi, laman blog miliknya banyak memaparkan aspek peribadi dan unik kerana kebiasaannya cara penyampaian serta gambar yang dikongsi bermain dengan emosi.

Unik dengan panggilan Sue Anna Joe, penulisan blog yang dilakukan diterjemahkan sebagai hobi sepenuh masa dan digabung bersama minatnya pada fotografi.

Jika pada mulanya, dia membuka laman blog, sueannajoe.blogspot.com hanya sekadar hobi semata-mata tetapi kini menjadi tempat menjana pendapatan.

Selain itu, Sue Anna Joe turut berkongsi cerita mengenai fesyen, kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu, pengalamannya, tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi, lokasi menjamu selera, ulasan filem serta produk di laman blog khasnya yang lain.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url