Dr. Muhaya Mohamad - Pakar mata kemas kini Facebook 20 kali sehari


Oleh SYALMIZI HAMID

“AWAK bertuah kerana satu-satunya wartawan lelaki yang saya terima untuk ditemu bual. Sebelum ini semuanya wanita,” usik Profesor Dr. Muhaya Mohamad kepada penulis ketika berkunjung ke rumahnya di Country Height, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Nada gurauan bersahaja itu sudah menggambarkan bahawa Muhaya merupakan seorang wanita yang senang didekati biarpun namanya terukir besar sebaris wanita berjaya yang lain.

Ketika itu beliau baru sahaja tiba di kediamannya itu setelah selesai tugasnya sebagai pakar mata di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Sebagai wanita yang sudah menginjak usia 54 tahun, Muhaya tidak nampak penat walaupun hari sudah hampir berganjak ke senja.

Beliau tidak lokek dan kekok, bahkan merendah diri. Nyata personaliti positif yang dididik sejak kecil itu menjadi pegangan buat ibu kepada dua orang cahaya mata itu sehingga kini.

Mengimbau zaman kanak-kanaknya, Muhaya bersama empat orang adik-beradiknya diasuh dengan cara tegas tetapi sarat pengajaran. Bapanya yang merupakan seorang askar banyak ‘memaksa’ Muhaya agar berdikari biarpun pada usia yang sangat mentah.

“Saya masih ingat ketika ayah menyuruh saya membeli setem sendiri masa umur tujuh tahun. Saya menolak kerana takut dan tidak yakin. Tetapi ayah tetap menyuruh. Saya tak boleh cakap takut, dia akan menekan dan ajar saya mengatasi ketakutan.

“Ayah selalu puji saya dan tidak pernah mengutuk personaliti. Kalau saya degil, ayah akan tegur dengan menggelar saya dengan panggilan budak bertuah.

“Ibu pula banyak mengajar kami bersederhana. Jika nasi semalam tidak habis, dia akan buat nasi goreng. Nasi sudah basi pun dia akan cuci untuk diberi ayam makan kerana tidak mahu membazir,” katanya yang sudah mengikuti kelas tuisyen sejak berusia lapan tahun.

Impian

Ketika kecil, minat Muhaya terarah kepada bidang seni. Beliau banyak menyertai pertandingan pertunjukan fesyen, menjadi penari dan menggalas jawatan presiden persatuan nyanyian ketika menuntut di sekolah sebagai kepuasan diri.

Selain gemar tampil cantik di khalayak, Muhaya pernah memasang impian untuk menjadi penghias muka depan majalah wanita serta menjadi pramugari.

“Saya minat bidang peragaan dan sering menyertai pertunjukan fesyen ketika di sekolah menengah.

“Ini termasuklah menyertai kumpulan tarian di sekolah rendah. Tetapi saya tidak pernah berita-cita menjadi artis.

“Ketika berusia 16 tahun saya pernah juga berangan nak jadi gadis penghias muka depan sebuah majalah.

“Tapi saya tidak pernah berusaha kerana sekadar berangan. Lagipun saya tinggal di Terengganu pada ketika itu yang jauh dari Kuala Lumpur.

“Ketika kanak-kanak lagi, saya sudah terbiasa dengan pentas. Dari situ saya membina keyakinan diri untuk yakin di depan khalayak,” katanya yang pernah mendapat pujian daripada pelakon 60-an, Allahyarham Ahmad Nisfu kerana pandai menari.

Biarpun minatnya dalam bidang seni menebal, namun Muhaya bijak memilih masa depannya.

Setelah tamat pengajian tingkatan enam di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor, beliau meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1979.

Dengan niat untuk membantu masyarakat, nama Muhaya kini bukan sahaja terkenal sebagai seorang pakar mata wanita yang berjaya bahkan motivasi dan semangatnya ditagih oleh mereka yang memerlukan.

Mempunyai lebih 80,000 orang pengikut di laman sosial Facebook, saban hari Muhaya banyak berkongsi kata-kata mutiara buat rakan-rakan di laman sosial yang mula aktif pada setahun lalu.

Sejak diundang menjadi tetamu dalam salah satu segmen di stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM FM, popularitinya melonjak.

Masyarakat mula memberi perhatian kepada Muhaya sehingga dalam sehari beliau menerima lebih 1,000 orang pengikut baharu di Facebook.

Facebook

Beliau akan mengemas kini akaun Facebook yang dibuka sejak setahun lalu itu di antara lima hingga 20 kali sehari.

Menggunakan gajet iPad, Muhaya akan mengemas kini statusnya dengan pelbagai kata-kata semangat yang antaranya merupakan idea dan pemerhatian beliau serta apa yang diperoleh daripada rancangan keagamaan yang ditontonnya.

Bagaimana beliau memperoleh idea untuk mengemas kini status dengan kata-kata bersifat ketuhanan dan motivasi itu?

“Saya banyak menonton rancangan berbentuk keagamaan antaranya seperti Tanyalah Ustaz, Jalan Orang Mukmin dan Halaqah. Seterusnya saya akan memilih kata-kata yang sesuai untuk dikongsikan.

“Selalunya saya akan merakam rancangan tersebut dan menontonnya semula apabila ada kelapangan. Merakamkannya lebih baik kerana saya tidak perlu membuang masa dengan menonton iklan.

“Selain itu, saya sendiri akan menterjemahkan apa yang saya lihat dan lalui seharian ke dalam bentuk kata-kata hikmah seperti itu,” ujarnya yang sering menasihati pengguna Facebook dengan tagline ‘Jom Audit’.

Tagline tersebut bagaikan mengajak rakan-rakan Facebook memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Jelas Muhaya, melalui Facebook juga beliau dapat mengenali personaliti seseorang.

“Misalnya status kemas kini yang berunsurkan negatif jelas menunjukkan yang dia adalah seorang yang negatif,” ujarnya yang mempunyai akaun peminat atas nama Prof Dr. Muhaya.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Hamid Takher
    Hamid Takher Ahad, 18 Ogos 2013 pada 12:09:00 PTG SGT

    Assalamualaikum Prof Dr Muhaya,

    Saya seorang lelaki berumur 69 tahun. Masalah mata yg saya alami sejak 5 bulan lalu ialah benda yang saya lihat berbentuk double. Sangat mengganggu terutama waktu memandu kenderaan. Apa masalah saya yg sebenarnya.

    Hj Hamid Takher, Kuantan (email: hamidtakher@yahoo.com)

Add Comment
comment url