Malaysia tangga kedua Kos Pemilikan Kenderaan terendah

MALAYSIA berada pada kedudukan kedua di kalangan negara ASEAN selepas Filipina yang memiliki Kos Pemilikan Kenderaan (CVO) terendah susulan langkah pemberian subsidi minyak oleh kerajaan selain daripada cukai jalan serta kadar insurans yang rendah.

Institut Automotif Malaysia (MIA) dalam satu analisis berkata, CVO negara adalah 39 peratus lebih rendah berbanding Thailand dan 12 peratus lebih rendah berbanding Indonesia.

Dari aspek cukai jalan dan yuran pendaftaran, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mengenakan bayaran lebih rendah 577 peratus berbanding Singapura dan dan 442 peratus lebih rendah berbanding Indonesia.
MIA berkata, cukai jalan dan yuran pendaftaran kenderaan di Malaysia itu sama rendah seperti di Filipina, Thailand dan Vietnam.

Bagi aspek premium insurans tahunan kenderaan menunjukkan Malaysia mengenakan bayaran jauh lebih rendah berbanding Thailand, Singapura dan Indonesia, masing-masing dengan perbezaan sebanyak 210 peratus, 175 peratus dan 126 peratus.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MIA, Madani Sahari berkata, harga bahan bakar yang dijual di Malaysia juga adalah lebih rendah berbanding beberapa negara ASEAN berikutan pemberian subsidi kerajaan memberi subsidi.

“Harga bahan bakar di Thailand paling tinggi diikuti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Filipina,” katanya.
Madani berkata, berdasarkan simulasi daripada CVO Malaysia tanpa subsidi bahan bakar pula menunjukkan negara ini berada di kedudukan ketiga terendah selepas Filipina dan Vietnam.

Dalam pada itu, MIA berkata, harga kereta penumpang di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara ASEAN lain berdasarkan analisis perbandingan ke atas beberapa model popular.

Bagaimanapun, analisis itu mendapati perbandingan harga jualan yang ditawarkan di negara ini bagi beberapa model popular adalah lebih rendah berbanding di Singapura.

Madani berkata, harga model Honda City dan Toyota Vios dari segmen 1,500 cc yang dijual di Thailand lebih murah di kalangan negara ASEAN lain dan purata 40 peratus lebih rendah berbanding harga jualan di Malaysia.

“Ia diikuti dengan Filipina, Indonesia dan Vietnam masing-masing 32 peratus, dua peratus dan 1.8 peratus lebih rendah berbanding harga jualan di negara ini bagi model berkenaan,” katanya.

Bagi segmen 1,800 cc, harga model Honda Civic di Filipina 43 peratus lebih rendah, sementara di Thailand dan Vietnam pula masing-masing 35 peratus dan lima peratus, manakala Indonesia tinggi sedikit berbanding Malaysia dengan tiga peratus.

Harga model Toyota Altis di Thailand jauh lebih murah berbanding negara ASEAN lain dengan purata 44 peratus, diikuti Filipina (38 peratus), Indonesia (29 peratus) dan Vietnam (tujuh peratus).

Sementara itu, bagi segmen kereta penumpang 2,000cc dan ke atas pula Filipina serta Thailand mencatatkan harga jualan Toyota Camry lebih murah di ASEAN iaitu masing-masing 32 peratus dan 16 peratus.

Namun ia dijual lebih tinggi di Indonesia dan Vietnam iaitu sebanyak 11 peratus dan lima peratus berbanding Malaysia.

Madani berkata, harga jualan bagi model Toyota dan Honda di Singapura pula, jauh lebih tinggi berbanding Malaysia dengan purata 137 peratus.

Beliau berkata, dari segi perspektif lebih luas pula, apabila individu berminat untuk membeli kereta ia bermakna mereka mencari pengangkutan untuk bergerak dengan lebih selesa walaupun pengangkutan awam boleh menjadi alternatif.

“Ia bermaksud, analisis lebih mendalam adalah perlu untuk menilai kos pengangkutan berbanding kos kereta baru,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url