Memahami bidaah

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Persoalan yang sering timbul dalam masyarakat kita dewasa ini adalah adanya segelintir masyarakat yang tidak memahami dengan sebenar-benarnya persoalan bidaah.

Lalu mereka menganggap segala apa jua perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat semuanya bidaah.

Akhirnya wujud dalam kalangan masyarakat yang menyatakan bahawa amalan-amalan seumpama talkin mayat setelah dikebumikan, membaca tahlil, membaca Yasin pada malam Jumaat, berwirid secara berjemaah selepas solat fardu, membaca lafaz usalli atau melafazkan niat sebelum takbir, sambutan maulid nabi dan sebagainya adalah amalan bidaah yang tidak diterima di sisi Allah.

Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Sukki Othman menjelaskan, fahaman seumpama itu adalah fahaman yang tidak benar.

Katanya, yang dianggap bidaah itu sebenarnya adalah perkara khilafiah yang para ulama berselisih pandangan terhadapnya.

Menurut istilah syarak, jelas beliau, bidaah adalah sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masalah agama (untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ada contoh sebelumnya daripada Nabi SAW, tidak disuruh oleh nabi untuk melakukannya, juga tidak dipersetujui dan tidak diakui oleh nabi SAW dan tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda (Jum'at Amin Abdul Aziz. 1991. Fahmul Islam fi Zilal Usul al-'Isyrin lil Imam Hasan al-Banna. Iskandariah: Dar al-Da'wah. Hlm. 195)

Bidaah juga ditakrifkan sebagai mewujudkan sesuatu perbuatan atau perkataan yang tidak datang keizinan daripada syarak di dalam al-Quran, sunnah, ijmak atau qias dan tidak termasuk dalam kaedah dan asas umum ajaran Islam (Al-Sa'di, Abdul Malik Abdul Rahman, 2008. Al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq. Jordan: Matba'ah al-Azhar, hlm. 8)

"Oleh itu, bidaah adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah kerana sunnah itu petunjuk. Sedangkan bidaah adalah perbuatan yang dilakukan tanpa landasan wahyu (al-Quran) atau sunnah Nabi SAW dan ijmak ulama," katanya.

Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Quran, sunnah, ijmak atau Qias.

Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bidaah.

Jika sebaliknya, iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bidaah.

Persoalannya, adakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bidaah?

Mohd. Sukki berkata, sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bidaah ini adalah ibadah yang dilakukan oleh nabi SAW boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. Amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat, hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya.

Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan.

Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat Maghrib umpamanya daripada tiga rakaat kepada empat rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bidaah.

2. Adapun, amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut.

Syaratnya, kata Mohd. Sukki, tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang dilakukan itu.

"Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam," jelasnya.

Ilmu elak bidaah

Justeru, Mohd. Sukki berkata, Imam Hasan al-Banna mengkategorikan bidaah itu kepada dua iaitu:

- Bidaah hakiki yang wajib diperangi

- Bidaah yang termasuk dalamkhilaf dalam kalangan ulama.

Contoh bidaah dalam kategori pertama iaitu yang wajib diperangi adalah tidak menggunakan hukum dan perundangan yang diturunkan oleh Allah, menyambut perayaan yang mempunyai kaitan dengan agama selain daripada Islam, adat-adat dan budaya-budaya haram yang dicedok dari Barat seperti pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya.

Adapun bidaah kategori yang kedua yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama adalah berselawat kepada nabi secara kuat selepas azan, membaca surah al-Kahfi dengan suara yang kuat oleh seorang qari di masjid sebelum didirikan solat Jumaat, membaca ayat al-Quran atau zikir-zikir tertentu dengan bilangan-bilangan yang ditetapkan seperti 100 dan 1,000, menyambut ulang tahun keputeraan nabi dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kata Mohd. Sukki, bidaah kategori pertama sahaja yang diharamkan manakala bidaah kategori kedua bukanlah bidaah hakiki yang diharamkan.

Katanya, kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat tentang bidaah ini ekoran kefahaman seolah-olah segala apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah menjadi suatu bidaah apabila dilakukan.

"Sedangkan sesuatu yang sedia dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak melakukan semua perkara yang diharuskan kerana perkara yang harus terlalu banyak.

"Oleh itu, sesiapa yang mendakwa pengharaman sesuatu atau mengaitkan dengan bidaah dengan alasan nabi tidak melakukannya, bererti dia telah membuat dakwaan yang salah," katanya.

Mohd. Sukki memberitahu, terdapat kaedah usul fiqh yang menyebut: "Meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya."

Begitu juga sesuatu yang dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak mengerjakan semua amalan yang sunat.

Katanya, hal ini kerana kesibukan baginda melakukan perkara dan urusan lain yang lebih penting dan besar seperti menyampaikan dakwah, berdebat dengan golongan musyrikin dan ahli kitab, berjihad menentang musuh Islam demi memelihara kesucian agama Islam, mengasaskan sebuah kerajaan Islam dan sebagainya.

Namun, Rasulullah telah menggariskan nas-nas syarak yang umum meliputi segala hal yang disunatkan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url