SPR gugurkan 42,000 pengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggugurkan nama 42,025 pengundi yang status mereka meragukan daripada senarai daftar pemilih selepas tempoh semakan tamat semalam.

Sebelum ini, SPR meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memeriksa senarai daftar pemilih yang berjumlah 12.46 juta pengundi dan mendapati status mereka meragukan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berkata tempoh semakan sepatutnya tamat akhir tahun lalu, tetapi dilanjutkan sebulan atas permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).
Katanya, sepanjang tempoh itu, SPR menerima 50 maklum balas daripada pemilih dan waris dari Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala tiada maklum balas daripada negeri lain, termasuk Sabah membabitkan 13,000 pengundi yang statusnya meragukan.

“Semakan di JPN mendapati sebanyak 26 daripada 50 maklum balas yang diterima menunjukkan rekod pemilih terbabit adalah aktif, manakala 24 lagi tidak aktif.

“Kita tidak mempunyai pilihan dan menggugurkan 42,025 pengundi yang diragukan statusnya. Kita sudah memberi masa mencukupi untuk mereka memeriksa senarai itu di laman web SPR dan memberi cakera padat (mengandungi senarai terbabit) kepada parti politik,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada pengurus dan penolong pegawai pengurus SPR di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, daripada 16.1 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang layak mendaftar sebagai pengundi, 12.4 juta sudah berdaftar, manakala 3.7 juta belum berbuat demikian.
“Kita harap mereka yang layak segera mendaftar bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, SPR dalam proses menentukan kriteria perlu diikuti rakyat Malaysia di luar negara untuk membolehkan mereka mengundi.

“Kami mahu tentukan kategori orang Malaysia di luar negara yang boleh mengundi. Adakah hendak bagi (mengundi) orang yang tinggal 20 atau 30 tahun di luar negara dan tidak tahu apa-apa mengenai Malaysia.

“Kita akan ikut negara lain. Contohnya, ada yang tetapkan tiga tahun kena balik dan ada yang empat tahun. Singapura berikan tempoh tertentu... macam di Amerika Syarikat seseorang mestilah pembayar cukai,” katanya.

Mengenai cadangan membenarkan warga Malaysia di luar negara mengundi awal, Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu dengan Wisma Putra yang menyatakan tidak sanggup melaksanakannya kerana proses yang rumit.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url