Api misteri kembali mengganas


KOTA BHARU – Selepas lebih setahun tenang tanpa serangan api misteri, keluarga Zainab Sulaiman, 75, atau lebih dikenali sebagai Mok Nab kembali resah apabila serangan tersebut kembali berulang di kediamannya di sini kelmarin.

Terbaru, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, dekat sini, apabila api misteri tersebut muncul secara tiba-tiba dan membakar sebuah almari yang sarat dengan pakaian.

Menurut Zainab, kejadian tersebut disedari oleh seorang cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 16, yang terbau hangit seperti benda terbakar sebelum mendapati sebuah almari yang terletak di dalam sebuah bilik terbakar.

Katanya, ketika disedari api yang muncul tersebut begitu marak dan membakar almari serta sebahagian dinding bilik tersebut menyebabkan beliau dan menantunya, Rafeah Zakaria, 38, serta dua lagi cucunya, Wan Nurfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, panik dan berada dalam ketakutan.

“Kami semua terpaksa mengambil semua pakaian yang disimpan di dalam almari dan dicampak ke luar rumah melalui tingkap untuk mengelakkan daripada terus hangus terbakar selain bimbang api menjadi semakin marak.

“Orang kampung juga datang menolong memadamkan kebakaran dan disebabkan api yang sangat marak, saya terpaksa meminta orang kampung menelefon pihak bomba kerana bimbang rumah saya hangus terbakar,” katanya ketika ditemui semalam.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url