Bateri Cas Semula Panasonic EVOLTA


KETIKA sedang khusyuk menggunakan gajet anda, kuasa baterinya pula habis. Anda pula tidak menyimpan bateri alkali baru mungkin kerana terlupa atau tidak sanggup membeli lebih kerana faktor kos. Situasi begini pastinya amat menjengkelkan.

Keadaan ini bakal berubah apabila Panasonic Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan produk bateri yang boleh dicas semula tetapi berkuasa, EVOLTA.

EVOLTA yang ditampilkan dalam saiz AA dan AAA bukan saja berkuasa setanding bateri alkali tetapi juga memiliki keupayaan pengecasan semula sebanyak 1,600 kali.
Sebagai pelengkap kepada bateri baru ini, Panasonic turut memperkenalkan kelengkapan pengecasan semula bagi kedua-dua saiz dengan tempoh cas antara dua, lapan hingga ke 10 jam.

Lebih menarik, teknologi bateri yang boleh dicas semula itu dapat membantu memulihara alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan bahan untuk membuat bateri serta pembuangan bateri lama.

Syarikat peneraju pasaran produk elektrikal dan elektronik tempatan itu mengakui bahawa faktor maklum balas memberangsangkan daripada jualan kelengkapan produk bateri yang boleh dicas semula menjadi pendorong kepada pengenalan bateri EVOLTA di negara ini.

Nama EVOLTA diambil daripada gabungan konsep evolusi dan voltan yang menjadi teras teknologi bateri baru ini yang menjadikan ia mampu tahan lebih lama.
EVOLTA dipasarkan dalam model HHR-3MVT/2B bagi saiz AA, HHR-4MVT/2B (AAA) dan HHR-3LVT/2B (AA) dengan harga di antara RM19.90 hingga RM35.90 setiap pek.

Kelengkapan pengecas semulanya ialah model BQ-CC09 dengan harga dari RM49.90 hingga RM149.90

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url