Tangani tingkah laku agresif

TINGKAH laku agresif kerap kali dikaitkan dengan perasaan marah. Marah adalah sebahagian daripada tindak balas normal perasaan manusia tetapi apabila tidak terkawal boleh mengakibatkan kemudaratan serius.

Walaupun perlakuan agresif selalu dikaitkan dengan individu yang mengalami penyakit mental tetapi ia juga boleh berlaku di kalangan manusia normal.

Dari sudut perubatan psikiatri, agresif adalah sebarang perlakuan yang boleh menyebabkan kemudaratan serius kepada tubuh badan atau perasaan seseorang mangsa.

Perlakuan ini boleh berlaku dalam bentuk tindakan ganas atau butiran perkataan yang berunsur ugutan jenayah.

Punca

Mereka yang menunjukkan tingkah laku agresif ini biasanya mengalami kecacatan bahagian otak yang dipanggil prefrontal cortex.

Selain daripada itu ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak yang dipanggil neurotransmitter serta kecelaruan rembesan hormon juga boleh menyebabkan tingkah laku agresif.

Bagi manusia normal tingkah laku agresif boleh berlaku apabila kemahuannya tidak dipenuhi atau keselamatan diri terancam.

Faktor persekitaran juga boleh memainkan peranan. Sebagai contoh seorang pemandu kereta yang tidak menggunakan penyaman udara di dalam cuaca panas didapati lebih mudah untuk membunyikan hon sesuka hati dan menunjukkan tingkah laku agresif apabila dicabar.

Penjenayah dan seseorang yang mempunyai masalah personaliti seperti antisosial atau borderline, tingkah laku agresif bagi mereka adalah satu keseronokan yang menyebabkan mereka cenderung untuk mengulangi perbuatan tersebut.

Perlakuan tersebut akan lebih kejam dan ganas sekiranya mereka menagih dadah atau mengambil alkohol.

Penagih dadah yang berada di bawah pengaruh dadah pula boleh menjadi agresif apabila mereka mempunyai delusion atau kepercayaan karut yang mengatakan kononnya individu tertentu cuba membuat aniaya atau membunuh mereka.

Penagih merasakan bahawa perkara tersebut seperti benar-benar terjadi lalu mereka akan bertindak agresif terlebih dahulu terhadap individu berkenaan.

Mereka juga selalunya berhalusinasi mendengar suara ghaib yang menyuruh mereka berkelakuan agresif atau membunuh seseorang.

Pesakit yang mengalami kemurungan pula biasanya mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri.

Ini menyebabkan perasaan kecewa dan marah melampau yang membawa kepada tingkah laku agresif seperti mengamuk dan keinginan membunuh. Mereka juga sangat sensitif kepada teguran dan kritikan.

Penderita pesakit post traumatic stress disorder (PTSD) di kalangan anggota tentera yang pernah menyaksikan trauma di medan pertempuran pula boleh menunjukkan tingkah laku agresif selepas mereka bersara sekiranya tidak dirawat.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url