Dewan Rakyat bersidang hingga 3.20 pagi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Peraturan Mesyuarat 90(2) perlu digunakan bagi menggantung Peraturan Mesyuarat 12 yang menyatakan semua aturan mesyuarat mesti diselesaikan pada hari yang sama.
"Perkara ini tidak pernah terjadi sejak saya terlibat dalam hal ehwal Parlimen (sejak 22 tahun lalu)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen kira-kira pukul 1.15 pagi ini.
Difahamkan, kejadian yang sama berlaku kali pertama ketika Ahli Parlimen meluluskan Ordinan Darurat di Kelantan pada 1977.
Mohamed Nazri membentangkan usul itu sebelum menjelang tengah malam ketika Dewan Rakyat sedang membahaskan Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2012 untuk bacaan kali kedua.
Ketika usul itu dikemukakan, terdapat 34 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), 17 (pembangkang) dan seorang wakil rakyat Bebas masih berada di dalam Dewan Rakyat yang dipengerusikan Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sehingga pukul 1.25 pagi, Dewan Rakyat masih membahaskan Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 sebelum berakhir kira-kira 3.20 pagi.
- UTUSAN