Indahnya alam perkahwinan
PERKAHWINAN adalah cara untuk meletakkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan di landasan yang betul. Ikatan perkahwinan merupakan ikatan yang dibina atas tuntutan agama dan bukan atas kehendak nafsu semata-mata.
Apabila kita perhatikan insan sekeliling bermesra, bergurau senda, dan berbahagia bersama orang tersayang, pasti akan terselit sedikit perasaan cemburu walaupun sekelumit.
Jauh di sudut hati, kita juga berkeinginan begitu. Ada tempat untuk kita berkongsi suka duka, ada tempat untuk meluahkan rasa hati, ada tempat untuk kita bermanja dan mencurahkan kasih sayang.
Penolong Pegawai Penerangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan Negara (LPPKN), Rahmah Othman berkata, terdapat beberapa perkara yang harus diamalkan dalam mengukuhkan perkahwinan, sama ada untuk yang baru melangkah ke alam perkahwinan mahupun yang lama.
"Gerbang perkahwinan ini bukan sekadar melayari mimpi indah. Di dalamnya penuh onak dan duri, adakalanya bahtera dikemudi hilang arah tujuan dan memaksa untuk berteduh dan berlindung.
"Justeru, antara perkara-perkara yang harus dipraktikkan adalah seperti mengamalkan bahasa cinta. Dengan melafazkan kata-kata yang memberi keyakinan seperti pujian, penghargaan, dan galakan kepada pasangan masing-masing.
"Selalu mengucapkan perkataan-perkataan yang menunjukkan kasih mendalam kepada isteri. Contohnya ucapan "sayang", "I love you", "I missed you" dan sebagainya, terutama ketika akan berpisah, sama ada lama atau sekejap, jauh atau dekat.
"Jika si isteri atau suami ingin ke tempat kerja katakan padanya seperti 'sayang, bawalah kereta hati-hati, saya sayangkan awak' dan kata-kata lain yang boleh memberi semangat untuk dia melakukan kerja," katanya.
Rahmah berkata, masa adalah sangat berharga , maka wujudkan masa ceria bersama pasangan seperti memberi hadiah walaupun hari itu bukan hari lahirnya.
Ini demi memperkukuhkan ikatan dan menggembirakan pasangan.
Beliau juga menjelaskan bahawa sentuhan fizikal juga adalah satu bentuk komunikasi yang paling berkesan dalam menyemarakkan api cinta.
Sementara itu kerap menzahirkan rasa cinta sama ada melalui sentuhan mahupun ucapan, ia akan melahirkan keselesaan bila berdua dan akan menjadi akrab dan mesra antara satu sama lain.
"Sikap hormat menghormati, bertanggungjawab, memahami minat pasangan, pandai untuk menangani konflik bersama serta membuka ruang komunikasi yang positif akan membuahkan hasil yang baik.
"Apabila berada di alam perkahwinan ini, kita perlu melakukan perubahan ke arah yang lebih positif dalam diri.
"Pertamanya, menerima baik dan buruk perlakuan pasangan, tukar pandangan anda dengan berfikiran positif, kemudian tunjukkan yang anda mengambil berat terhadapnya seperti bersikap penyayang dan jangan pula berpura-pura," ujarnya.
Di samping itu, sifat saling memaafkan merupakan sifat terpuji dan perlu diamalkan, selain bercakap, berbincang, merancang dan membuat keputusan secara bersama.
Sebagai ketua rumah, suami wajar berunding terlebih dulu dan menghormati pandangan isteri.
Perkara lain yang lebih penting jelasnya adalah bersikap romantik yang biasanya lahir dari hati yang kaya dengan kasih sayang.
"Gangguan anak-anak malah cucu-cucu tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak lagi bersikap romantik bersama pasangan masing-masing," ujarnya.
- UTUSAN