Minuman racun berjadual dirampas


KUALA LUMPUR 18 April - Kira-kira 48 jam selepas Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan merampas ribuan peket minuman pelangsing yang dikhuatiri mengandungi racun berjadual, pasukan itu hari ini membongkar pula kegiatan sebuah syarikat yang memasukkan racun terkawal jenis thiodimethysildenafil ke dalam minuman kesihatan.

Racun tersebut adalah sejenis bahan yang terdapat di dalam pil viagra bertujuan untuk merangsang nafsu seks lelaki.

Operasi pasukan itu dilakukan secara serentak di pejabat dan stor syarikat itu di Wisma Zelan di Jalan Tasik Permaisuri di sini serta gudang penyimpanan stok minuman berkenaan di Klang.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kamarul Azhar Kamaruddin berkata, hasil pemeriksaan di tiga lokasi tersebut, pihaknya telah merampas sebanyak 24,200 tin minuman itu.

"Semua minuman itu dijual secara tertutup pada harga RM8 setin dan tidak dijual di kedai-kedai runcit mungkin kerana bimbang produk berkenaan dikesan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, semua minuman yang dirampas bernilai RM193,600 mengikut harga pasaran.

Kamarul Azhar memberitahu, thiodimethysildenafil hanya boleh diambil selepas seseorang itu mendapat pemeriksaan doktor yang mengesahkannya bebas daripada penyakit utama seperti jantung.

"Jika tidak ia akan memberi kesan mudarat. Di Eropah contohnya, pernah mencatatkan kematian apabila pihak berkuasa gagal mengawal penggunaan thiodimethysildenafil.

"Racun terkawal itu diakui mampu merangsang seks lelaki tetapi kesannya sangat bahaya dan boleh membawa kematian," ujarnya.

Kelmarin, Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan merampas sebanyak 170,000 peket minuman pelangsing bernilai RM500,000 dipercayai mempunyai racun berjadual yang diharamkan.

- UTUSAN
 
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url