Pos Malaysia Keluarkan Setem Khas Sempena Pertabalan Agong Ke-14
Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Yasmin Ramli berkata setem peringatan yang memaparkan potret Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah itu akan dijual bermula 12 April ini.
"Produk kali ini terbahagi kepada empat iaitu setem segi empat sama dalam dominasi 60 sen, 80 sen dan RM1; lembaran mini pada harga RM5; sampul surat hari pertama 50 sen; serta folder yang terdiri daripada sampul surat hari pertama dan lembaran mini berharga RM5.50.
"Manakala satu set lengkap yang merangkumi setem 60 sen, 80 sen dan RM1, sampul surat hari pertama, lembaran mini, risalah dan ringkasan produk yang dikeluarkan sempena pertabalan Tuanku Abdul Halim pula berharga RM66.90," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.
Yasmin berkata keunikan koleksi kali ini adalah lembaran mini yang dikeluarkan secara ekslusif sempena memperingati penggal kedua pemerintahan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di Pertuan Agong dan dijual pada harga RM5.
"Lembaran mini yang berukuran 140mm x 75mm ini juga buat pertama kalinya memaparkan teknik khas dan percetakan emas serta memaparkan setem terdahulu yang pernah dikeluarkan sempena memperingati pertabalan kali pertama Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1971 beserta potret terkini Seri Paduka baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 tahun ini," katanya.
Beliau berkata bagaimanapun folder berharga RM5.50 hanya boleh diperolehi di pejabat-pejabat pos terpilih sahaja.
Sampul surat hari pertama yang berharga 50 sen setiap satu hanya akan dijual pada hari pertama manakala produk lain dijual sehingga habis stok dan boleh didapati di semua pejabat pos, katanya.
Yasmin berkata setem kenangan dan sampul surat hari pertama sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 turut ditempah oleh negara luar seperti Australia, Thailand, India dan Jepun.
"Pengumpul setem terutama bagi koleksi diraja digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli Standing Orred Deposit Account (SODA) untuk mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di kaunter," katanya.
- BERNAMA