Google Maps pelbagai fungsi
BAGI mereka yang tidak arif tentang arah mahupun tanda tempat atau lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Google Maps sememangnya menjadi pilihan dalam membantu menyelesaikan masalah mereka.
Sedar akan pengaruhnya kepada pengguna khususnya yang menetap di sekitar ibu kota, Google Malaysia baru-baru ini memperkenalkan tiga penambahan utama kepada aplikasi tersebut.
Penambahbaikan ini bertujuan memudahkan pengguna di Malaysia merancang perjalanan dengan lebih teratur sekali gus membantu mereka mencari maklumat tepat mengenai keadaan semasa.
Menurut Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan, penambahan yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan aplikasi bagi trafik dan transit serta paparan antara muka dalam bahasa Malaysia.
Katanya, dengan membuka ciri trafik dalam Maps, pengguna dibekalkan dengan maklumat dan data mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku berdasarkan kod warna yang ditetapkan pada laluan tersebut.
"Tiga kod warna akan menjadi panduan kepada pengguna dengan warna merah menunjukkan jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar.
"Lapisan baru ini memudahkan pengguna khususnya pemandu kenderaan untuk merancang laluan alternatif ke destinasi yang ingin dituju," katanya pada majlis memperkenalkan aplikasi terbaru itu kepada media baru-baru ini.
Tambahnya, pemandu yang sudah biasa dengan jalan-jalan tertentu juga boleh menggunakan maklumat yang disediakan untuk merancang laluan alternatif ke destinasi yang diingini.
Turut dimuatkan dalam aplikasi terbaru ini adalah ciri transit yang memberikan maklumat berkaitan perjalanan pengangkutan awam khususnya sekitar Kuala Lumpur.
Google Maps menawarkan maklumat mengenai pengangkutan awam secara menyeluruh termasuk pilihan bas awam, monorel, komuter mahupun Transit Aliran Ringan (LRT).
Ciri transit ini juga menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna sebagai bantuan kepada mereka untuk mengelak kesesakan lalu lintas dengan menggunakan pengangkutan awam yang lebih efisien.
Selain itu, pengenalan kepada pilihan antaramuka dalam Bahasa Malaysia dilihat sebagai inisiatif dalam menempatkan Google Maps untuk dimanfaatkan oleh pengguna.
Pengguna kini boleh mengakses aplikasi tersebut dengan lebih berkesan dan selesa sekali gus bertepatan dengan kehendak mereka.
Bagi data trafik dan transit, ia diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , pembekal data swasta serta pengguna Maps itu sendiri.
- UTUSAN