2.6 juta rakyat Malaysia hidap diabetes

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata keputusan kaji selidik NHMS itu membimbangkan dan memerlukan perhatian semua pihak untuk mencegahnya.

Beliau berkata jumlah itu masih tinggi walaupun Kementerian Kesihatan melakukan pelbagai usaha menanganinya sejak beberapa tahun lalu.

“Perangkaan daripada NHMS menunjukkan pesakit diabetes di Malaysia meningkat 31 peratus dalam lima tahun berbanding peningkatan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas,” katanya selepas merasmikan Persidangan Diabetes Kebangsaan 2012 bertemakan ‘Ke arah Pencegahan dan Pengawalan Diabetes yang Lebih Baik’ di sini, semalam.

Katanya, antara faktor yang menyumbang peningkatan jumlah penghidap diabetes dalam kalangan penduduk Malaysia termasuk berat badan berlebihan, genetik, gaya hidup dan diet tidak sihat, meminum alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara tetap.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perawatan Luka Peringkat Asia Pasifik 2012, berkata menjelang Januari tahun depan, hampir 130 hospital pakar dan bukan pakar di seluruh negara akan mempunyai Jawatankuasa Penjagaan Luka memandangkan peningkatan pesakit kencing manis dalam negara ini.

Katanya, ada lebih 5.6 juta pesakit dalam negara ini dan 25 peratus dari jumlah itu mengalami komplikasi kaki yang serius dan memerlukan penjagaan luka yang betul.

Beliau berkata penjagaan luka yang baik dalam kalangan pesakit diabetes mengurangkan risiko amputasi kaki.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url