Bertudung tetapi berpakaian seperti telanjang?
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam
SEJAK akhir-akhir ini kita dapat melihat gaya wanita bertudung kepala ibarat sudah menjadi satu trend di Malaysia. Ini memberi petanda yang baik kepada negara kita yang merupakan sebuah negara majoriti penduduknya orang Melayu yang beragama Islam.
Seperti kita sedia maklum pemakaian tudung serta menutup aurat adalah satu kewajipan yang harus dipatuhi sebagai seorang Muslim. Tetapi ada segelintir wanita seolah-olah mempersendakan agama dengan cara pemakaian tudung mereka. Soalnya, mengapa bertudung tetapi masih memakai pakaian seolah-olah bertelanjang?
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani." (Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab: Ayat 59)
Ambil iktibar berdasarkan petikan surah ini yang menyeru kita sebagai kaum hawa harus mengetahui bahawa menutup aurat itu wajib dan aurat harus dipelihara agar martabat wanita Islam sentiasa dipandang tinggi.
Amat jelas sekali, Islam menjaga maruah wanitanya supaya tidak mudah dijadikan sebagai objek pemuas nafsu dan sasaran pandangan jahat lelaki di dunia, dengan cara Islam menetapkan adab berpakaian memelihara aurat bagi mereka. Tetapi malang sekali ramai yang tidak menyedari akan hal ini dan masih ramai gagal memelihara aurat seperti yang termaktub di dalam al-Quran.
Evolusi tudung di Malaysia semakin pesat berkembang sejak akhir-akhir ini dengan pelbagai jenis tudung dijual di pasaran. Pelbagai corak, warna dan bentuk dapat lihat di mana-mana premis perniagaan. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci berwarna-warni dijahit pula di atasnya serta berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk wanita yang bertudung. Rekaan itu semua bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi menambahkan fitnah ke atas wanita tersebut.
Tudung tidak lengkap dipakai, ada segelintir wanita Islam bertudung tetapi masih menampakkan leher dan dada. Ada pula yang memakai tudung tetapi pada masa sama memakai kain belah atau berseluar ketat dan sebagainya. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita Islam itu adalah bukan sahaja menutup auratnya malah menutup maruahnya sebagai seorang wanita.
Bila wanita bertudung tetapi masih lagi berhias secara berlebihan, maka terjadilah seperti pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan rasa sombong, riak dan bangga dalam diri. Mereka merasakan pemakaian tudung merekalah yang paling bergaya, mengikut trend dan mempunyai kelas tersendiri.
Nilai pemakaian tudung itu sendiri dicemari oleh golongan seperti ini. Bagi wanita Islam lain yang ingin mengikut jejak langkah wanita bertudung ini, niatnya tersekat melihatkan sikap mereka yang mencemari hukum Islam.
Bukan itu sahaja, bagi golongan bukan Islam pula mereka terasa tawar hati untuk mengenali Islam kerana melihat sikap segelintir umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hukum Islam. Walaupun mereka bertudung tetapi tingkah laku mereka tidak melambangkan ciri-ciri seorang wanita Islam dan tingkah laku mereka adalah sama sahaja dengan orang bukan beragama Islam.
Perlu diingatkan bahawa, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya atau dalam kata lain, tatkala itu dia hanya berdosa sekali iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar daripada dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas faktor tidak ikhlas, tidak mahu hipokrit dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya berdosa di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa dua kali.
Dosa di peringkat pertama dan kedua sekali gus, malah lebih musnah apabila dosa peringkat pertama itu sangat mudah bercambah jika ia berjangkit kepada orang lain. Contohnya apabila sahaja mata lelaki bukan mahram melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihatnya.
Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas, dia sudah terselamat daripada cambahan dosa mata lelaki.
Kalau kita menutup aurat tetapi tidak cuba memperbaiki diri, kitalah punca kegagalan bagi menyampaikan matlamat agama Islam itu sendiri secara menyeluruh. Jangan mengikut atau melihat orang lain. Jika kita ingin berubah ia harus bermula daripada hati kita sendiri.
Hal ini tidak juga bermakna jika seseorang itu bertudung secara langsung akhlaknya juga boleh menjadi baik. Aurat memang wajib ditutup dan cubalah untuk memperbaiki diri sedikit demi sedikit.
Bertudung dan menjaga aurat di luar bermakna hati kita hendaklah bersih dan menghindari diri daripada melakukan perkara yang mencemarkan status orang yang bertudung serta menutup aurat.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama yang sempurna. Ajarlah mereka dari awal tentang apa yang wajib dipatuhi sebagai umat Islam dan nasihati anak-anak terutamanya yang perempuan agar memakai tudung dan menutup aurat dan tidak mencemarkan pemakaian tudung dengan memakai pakaian yang singkat, sendat, menampakkan susuk tubuh dan sebagainya.
Selain itu, para peniaga tudung haruslah berfikir secara rasional sebelum menjual atau mengeluarkan rekaan tudung. Rekalah tudung yang mengikut ciri-ciri keislaman dan janganlah hanya memikirkan keuntungan sehingga menggadai maruah agama dengan menjual tudung yang singkat dan tidak melambangkan nilai dan ciri Islam.
Jika kita sudah berjaya menutup aurat secara keseluruhannya jangan pula kita abaikan tingkah laku atau tanggungjawab kita sebagai seorang Islam. Akhlak kita juga harus dipelihara seiring dengan cara pemakaian kita. Jangan hanya menutup aurat, tetapi tingkah laku masih lagi tidak mencerminkan diri kita sebagai Muslim sejati.
Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi:
"Aku menjenguk ke dalam neraka, maka ku lihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".
- UTUSAN
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.