Gaji Penengah Penentu Gaji Minimum Sabah, Sarawak
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata gaji penengah yang rendah menunjukkan majikan tidak mempunyai keupayaan untuk membayar gaji yang tinggi kepada pekerja.
"Sekiranya gaji minimum ditetapkan terlalu tinggi, kemungkinan majikan di Sabah dan Sarawak akan menghadapi kesukaran untuk beroperasi dan berkemungkinan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja.
"Jika keadaan ini berlaku, ia akan merugikan pekerja kerana mereka kehilangan pekerjaan dan ini akan menimbulkan masalah pengangguran," katanya pada persidangan Parlimen di sini, Khamis.
Beliau menjawab soalan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) mengenai rasional gaji minimum RM900 ditetapkan di semenanjung serta RM800 di Sabah dan Sarawak.
Menjelas lanjut Maznah berkata Majlis Perundingan Gaji Negara mengambil kira beberapa kriteria dalam penetapan gaji minimum antaranya Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), keupayaan majikan untuk membayar upah (median wage), peningkatan produktiviti buruh, indeks harga pengguna dan kadar pengangguran.
- MSTAR