Kes cerai meningkat
Pengarah Makroekonomi, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Alauddin Anuar berkata, pasangan Islam menyumbang sebanyak 80 peratus kes penceraian dan selebihnya pasangan bukan Islam.
"Sebanyak 0.13 peratus kadar penceraian dicatatkan pada 2000 dan pada 2005 peratus penceraian ini terus meningkat kepada 0.16 peratus.
"Pada 2010 pula, kadar penceraian yang direkodkan adalah sebanyak 0.22 peratus," katanya selepas membentangkan Laporan Kualiti Hidup Malaysia 2011, di sini semalam.
Alauddin berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan peratus penceraian itu adalah disebabkan pasangan tidak mempunyai persediaan yang cukup untuk berkongsi hidup.
"Perkara ini berlaku mungkin disebabkan mereka berkahwin pada usia yang muda.
"Selain itu, faktor gaya kehidupan berbeza antara pasangan juga boleh menjadi penyebab kepada kes penceraian," katanya.
- UTUSAN