Masuk IPTA bukan sekadar dapat ijazah
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang
MENJELANG Jun dan sekitar Julai nanti, beribu-ribu anak muda kita, termasuk warga emas akan ditawarkan mengikuti pengajian di universiti awam di seluruh negara.
Tidak kurang juga yang kecewa kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk mengambil semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau peperiksaan lain yang setaraf untuk memasuki universiti sama ada mengikuti pengajian diploma atau pada peringkat ijazah. Pilihan lain adalah dengan memasuki institusi pengajian tinggi swasta.
Namun tidak ramai yang sedar dan benar-benar menghargai peluang ini. Sesetengahnya memasuki dengan tangan kosong dan menyerahkan sepenuhnya kepada universiti untuk menentukan kejayaannya, tidak bersedia, tidak berusaha memanfaatkan peluang yang ada.
Idea dan persepsinya terhadap universiti tidak lebih daripada belajar di sekolah tinggi. Hanya pergi kuliah, buat tugasan dan menduduki peperiksaan, lulus, dapat ijazah dan mencari pekerjaan. Jika gagal mendapat pekerjaan, universiti dan kerajaan akan dipersalahkan serta dianggap gagal memainkan peranan.
Ramai juga yang beranggapan, jika seseorang itu cemerlang di sekolah maka ia akan diteruskan di peringkat universiti, menghafal sebahagian besar apa yang diterima dalam kuliah dan tutorial lalu kemudiannya meluahkan ia ketika menjawab soalan peperiksaan yang soalannya sebahagiannya sudah pun dapat diduga atau diberikan bayangan oleh pensyarah.
Kerana itu, terdapat segelintir yang menghabiskan masanya di universiti secara sia-sia. Sebahagian hanya mengejar ijazah dan berakhir dengan konvokesyen. Jika keputusannya cemerlang akan meneruskan pengajian pada peringkat sarjana dan pada peringkat seterusnya tanpa banyak belajar untuk menjadi seorang siswa atau siswi yang cintakan ilmu dan melakukan perubahan terhadap kehidupannya.
Jauh sekali untuk menjadi seorang perekacipta yang inovatif atau melakukan hal-hal yang boleh memberi faedah yang lebih besar dalam penggunaan ilmu pengetahuan dan fikiran untuk pembangunan diri mahu pun masyarakat dan negaranya. Apatah lagi untuk mencipta peluang pekerjaan baru dan tidak bergantung kepada orang lain. Segelintir lagi pula siswa-siswi menggunakan kampus sebagai pentas untuk eksperimen idealisme mereka yang melihat kehidupan dengan begitu 'ideal'.
Mereka belajar dan melihat segalanya dalam konteks yang serba serbi indah, membayangkan kejayaan-kejayaan dan keindahan hidup jika idealismenya dilaksanakan walau pun menggadaikan maruah bangsa, perjuangan mengekalkan kedamaian dan kesentosaan, malah ada ketikanya melanggar apa jua peraturan yang dibuat.
Mereka tidak peduli lagi tentang adab sopan dan kesusilaan sebagai orang berilmu, malah sesetengahnya tidak malu untuk menyertai aktiviti yang menyusahkan orang ramai, bertindak ganas dan apa jua untuk mencapai idealisme sehingga lupa yang pengajiannya dibiayai dari wang orang ramai melalui kerajaan yang membiayai pengajian tinggi negara.
Apa jua yang menghalang akan dianggap musuh dan anti kepada kepercayaan dan keyakinannya. Hatta menceroboh sekali pun dianggap betul untuk mencapai cita-cita dan keyakinannya, seolah-olah dia sahaja yang ada hak sedangkan orang lain tidak mempunyai hak yang serupa dengannya. Mereka kerap kali dipengaruhi oleh pihak tertentu yang sesetengahnya amat jelas menggunakan 'amarah' dan 'kegelisahan' anak-anak muda ini dalam melakukan perjuangan menegakkan idealismenya. Provokasi terhadap jiwa muda ini dilakukan berterusan yang bakal merosakkan masa hadapan mereka.
Hakikatnya universiti adalah tempat yang berupaya mendidik anak-anak muda dalam menseimbangkan antara idealisme dengan hakikat sebenar kehidupan. Universiti sepatutnya yang menjadi tempat yang memaknakan kebebasan yang ditunjukkan dalam autonominya dengan penuh tanggung jawab dan berhemah selaras dengan adab dan akal budi orang berilmu.
Universiti adalah tempat untuk mencari kebenaran dan berdebat tentang ilmu berasaskan fakta dan data, tetapi melihat juga kepada kepentingan masyarakat terbanyak tanpa menggadaikan apa yang sedia ada, kedamaian yang dinikmati dan kebebasan yang diberi.
Siswa-siswi perlu mengambil peluang berinteraksi dengan para ilmuan, mengkaji ilmu, melihat dengan pelbagai perspektif dan dimensi, saling hormat untuk meningkatkan darjah kematangan dalam perdebatan dan perbincangan sekali gus mendewasakan anak muda malah juga menjadikan ilmu pengetahuan sebagai teras yang berguna dalam memartabat dan mendaulatkan satu bangsa.
Ruang kebebasan digunakan untuk mereka yang dahagakan ilmu dengan menjadikan perpustakaan dan Internet untuk mendapat idea-idea dari buku dan bacaan sebagai asas memperkayakan diri. Pensyarah menjadi fasilitator bukan lagi sebagai guru yang memberikan segalanya, sebaliknya menjadi pembimbing yang akan mencabar daya fikir dan kreativiti siswa-siswi dalam mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan yang dibangkitkan untuk dunia seluruhnya.
Cabaran dalam sains dan teknologi, malah juga seni, budaya, kemanusiaan, kemasyarakatan, sains politik, falsafah dan lain-lainnya dirungkai, dilihat bersepadu dan berkait rapat antara satu sama lain. Alam menjadi medan pengajaran berguna untuk menjadi lebih kreatif dan melahirkan inovasi baru untuk manusia dan masa hadapannya.
Kerana itu, sudah sampai masanya mereka yang ingin memasuki universiti berfikir sedalam-dalamnya matlamat penerokaan ilmunya. Mereka harus melihat dalam kerangka yang betul agar kehadirannya akan berupaya mengubah dirinya dalam membantu melakukan perubahan bermakna dalam masyarakat secara realistik.
Universiti yang dalam proses membuat pemilihan perlu juga melihat kualiti calon yang diinginkannya terutamanya bagi kursus yang mempunyai temuduga dan ujian tertentu. Walau pun kelulusannya di peringkat sekolah agak rendah, namun jika pandangannya terhadap dunia ilmu dengan matlamat masa depan yang betul, lebih wajar diberikan pertimbangan berbanding dengan mereka yang jelas terlalu cetek pemikirannya dan melihat dunia dalam perspektifnya semata-mata. .
Jika memasuki universiti dengan keinginan yang kuat untuk mengubah diri, peluang terbuka luas di sini.
Akhirnya, yang akan menentukan kejayaan di universiti ialah kebijaksanaan membuat pilihan, tidak tenggelam oleh idealisme tertentu atau keseronokan seketika serta kefahaman terhadap makna sebenar universiti. Kelekaan dan taksub terhadap sesuatu idealisme akan hanya menjadikan peluang yang diberi menjadi sia-sia.
Peluang memasuki universiti perlu dihargai atau sebaliknya buatlah pilihan lain yang sesuai jika ia hanya akan menimbulkan masalah kepada diri dan orang lain apatah mengecewakan ibu bapa, masyarakat terbanyak dan negara.
- UTUSAN