Motivasi Datuk Maznah di Facebook
GELARAN 'wanita besi' cukup sinonim dengan wanita ini. Datuk Dr. Maznah Hamid amat terkenal dengan sikap gigihnya membangunkan syarikat kawalan keselamatan dengan konsep 'total security solution' yang biasanya didominasi oleh kaum lelaki.
"Saya ingin berkongsi kejayaan saya pada hari ini dengan memberi motivasi kepada orang lain. Kalau boleh setiap hari saya mahu mereka berjaya seperti saya," ujar Pengerusi Eksekutif Securiforce ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penulis masih ingat kata-kata beliau, untuk berjaya, berharta, bahagia dan hidup senang, seseorang itu memerlukan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai aspek. Ini kerana dengan mempunyai pelbagai kemahiran, punca pendapatan kita datang daripada pelbagai cabang dan ditambah dengan pencapaian akademik yang kita miliki.
"Saya sentiasa mempertingkatkan kemampuan diri dari segi bakat, kemahiran, pelan pemasaran dan mutu perkhidmatan yang syarikat kami tawarkan.
Saya 'jual' kualiti diri saya dan syarikat yang saya jadikan modal utama merintis kejayaan saya pada hari ini," ujarnya.
Menurut Maznah, sikapnya yang sentiasa positif itu mahu dikongsikan dengan orang lain melalui laman sosial, Facebook.
Maznah sendiri tidak menyangka kewujudan laman sosial miliknya itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat terutama generasi muda yang ingin menceburi bidang perniagaan dan merdeka kewangan.
"Jika orang tanya aktiviti saya pada masa lapang, inilah yang saya lakukan. Saya membantu mereka yang inginkan penyelesaian masalah melalui Facebook saya. Saya telah menjadikan Facebook ini sebagai landasan untuk menyampaikan motivasi, mendengar keluhan dan berkongsi pendapat dengan rakan-rakan dan peminat. Secara tidak langsung mereka akan meminati bidang perniagaan dan mendapat idea-idea baru untuk menambah serta mempelbagaikan sumber pendapatan peribadi dan keluarga," katanya.
Dalam pada itu, Maznah turut melancarkan sebuah buku yang mempaparkan susunan pendapat dan suara minda yang diilhamkan olehnya sendiri.
Ia dihasilkan berdasarkan pemerhatian dan pembacaannya selama 30 tahun bergelar usahawan yang dipaparkan di ruang Facebook beliau, www.facebook.com/maznahhamid.
Menurutnya, buku tersebut membawa pelbagai petua kehidupan, pengajaran mengenai perniagaan serta peluangnya, menjadi usahawan yang berjaya termasuk doa-doa harian amalannya berkaitan kejayaan dalam hidup.
"Buku ini terhasil selepas hampir 20,000 rakan Facebook meminta saya membukukan ruangan-ruangan khas yang saya utarakan di dalam Facebook sejak tahun lalu ia diwujudkan. Ia adalah asas untuk mencapai tiga K (Kejayaan, Kebahagiaan dan Kekayaan).
"Saya berharap menerusi buku ini dan Facebook yang saya sendiri kendalikan menjadi platform untuk orang ramai mendekati saya," katanya.
Di samping itu, ia akan memberi inspirasi, motivasi dan panduan kepada pelbagai permasalahan hidup, kerjaya dan keluarga.
Maznah berkata, objektif mewujudkan Facebook peribadi pada mulanya adalah untuk berkongsi pengalaman kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan khusus untuk golongan wanita di negara ini.
Peminat Wanita yang tidak pernah mengenal erti penat atau berehat ini walaupun pada hujung minggu merupakan peminat nombor satu Mingguan Malaysia.
"Selepas membaca artikel-artikel di ruangan Diari Panca, Mingguan Malaysia, saya terfikir untuk berkongsi cerita tentang Facebook saya. Saya mahu ia dilihat sebagai medium lebih santai dan lebih ramai golongan muda mahu bertanya dan berkongsi cerita di laman sosial saya. Ia sesuai dengan konsep ruangan ini," ujarnya yang tidak pernah lokek petua kejayaan.
KerjayaWanita besi ini memulakan kerjaya sebagai guru bahasa dan penterjemah di Pusat Bahasa. Menurut Maznah, beliau mula berazam menukar kerjaya apabila ada yang mengingatkannya, "kamu tidak akan mampu mendapat kekayaan jika hanya bekerja makan gaji!".
Bermula dari situlah Maznah mengumpul hasrat dan cita-cita untuk memulakan perniagaan dan berbincang dengan suaminya yang dianggap sebagai tiga dalam satu (Biz partner, Life partner, Sleeping partner).
Bagaimana mungkin seorang wanita mahu menceburkan diri dalam perniagaan yang sangat mustahil untuk seorang wanita ketika itu. Namun, Maznah membuktikan tanggapan itu salah kerana pada hari ini Maznah berjaya menerajui syarikat kawalan keselamatan terbesar dan beberapa syarikat lain dengan lebih 65 buah cawangan dan 6000 kakitangan.
- MINGGUAN MALAYSIA