Terapi untuk pesakit darah tinggi
Dianggarkan 4.8 juta individu menghidap hipertensi dan hanya 26 peratus mencapai tekanan darah yang disasarkan atau ideal.
Garis panduan hipertensi mengesyorkan ubat kombinasi yang mempunyai mekanisme tindakan pelengkap untuk mencapai sasaran tekanan darah berkesan.
Tekanan darah biasanya tidak dapat dikawal dengan baik hanya dengan agen anti hipertensi tunggal dan hipertensi yang tidak dirawat boleh menyebabkan sakit jantung serta strok.
Seeloknya hipertensi dirawat di peringkat awal sebelum merosakkan organ-organ penting dalam badan.
Terdapat lima kelas utama ubat yang digunakan untuk mengurangkan tekanan darah dan penggunaannya biasanya disyorkan bagi merawat hipertensi.
Dalam keadaan tertentu, menggunakan jumlah lebih kecil satu atau lebih ubat secara kombinasi boleh mengurangkan kesan sampingan sambil meningkatkan kesan anti-hipertensi.
Pengarah Jabatan Nefrologi, Medizinische Hochshule Hannover, Jerman, Prof Herman Haller berkata, kajian menunjukkan terapi kombinasi telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi keadaan pesakit.
"Pesakit lebih mudah mengambil satu saja ubat yang boleh mengawal tekanan darah berbanding dua ubat berbeza," katanya semasa taklimat media mengenai terapi kombinasi baru untuk hipertensi di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Salah satu ubat kombinasi terbaru Amlodipine dan Olmesartan Medoxomil mempunyai dua ramuan penting yang boleh membantu mengendurkan salur darah dan pada masa yang sama mengurangkan tekanan darah.
Kedua-dua komponen menyumbang kepada terapi hipertensi yang cekap dan berkesan dengan kemujaraban untuk mengurangkan tekanan darah dalam lapan minggu berbanding mengambil dua ubat berasingan.
Sementara itu Pakar Runding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Prof Dr. Azhari Rosman berkata, pesakit yang mengambil Amlodipine dan Olmesartan Medoxomil mempunyai tahap toleransi yang tinggi dan berjaya mengawal tekanan darah sehingga mencapai sasaran dalam masa 24 jam.
"Biasanya ubat tekanan darah tinggi dikaitkan dengan kesan sampingan seperti sakit kepala dan pening.
"Amlodipine dan Olmesartan Medoxomil yang diberikan menunjukkan profil toleransi lebih baik, melindungi organ dan mengurangkan tekanan darah selama 24 jam, menjadikannya sesuai untuk penghidap hipertensi berisiko tinggi," katanya.
Amlodipine dan Olmesartan Medoxomil mengandungi dua ramuan penting yang boleh mengendurkan salur darah dan mengurangkan tekanan darah.
Amlodipine Besylate adalah penghalang saluran kalsium yang mengimbangi kesan kalsium dalam salur darah dengan mencegah kalsium daripada memasuki sel darah dan dinding salur darah menyebabkan tekanan darah lebih rendah.
Olmesartan Medoxomil pula menyekat tindakan hormon yang dinamakan Angiotensin II yang boleh mengecilkan dan menyempitkan salur darah.
Terapi ini disyorkan bagi rawatan hipertensi asas dan dicadangkan bagi pesakit dengan tekanan darah tidak terkawal dengan terapi tunggal.
Dos yang dicadangkan adalah sehari sekali. Ia boleh didapati dalam dos 20mg/5mg dan 40mg/5mg.
Malaysia merupakan negara ketiga di Asia yang menggunakan Amlodipine dan Olmersartan Medoxomil.
- UTUSAN