Terengganu lakar hatrik SUKMA

Gambar - Pemain Hoki Wanita Terengganu

Kehebatan Terengganu melahirkan jaguh lumba basikal, memanah dan olahraga tempatan membolehkan negeri itu ditabalkan selaku juara keseluruhan Sukan Malaysia buat kali keempat berturut-turut.

Selepas muncul juara keseluruhan pada 2008, 2010 dan 2011, Terengganu meneruskan keunggulan sebagai kuasa sukan tempatan dengan membolot 62 pingat emas, jauh mengatasi Selangor yang melengkapkan saingan dengan 47 emas. Tuan rumah pula berada di tempat ketiga dengan 44 emas.

Malah, pungutan yang diraih Terengganu juga mengatasi sasaran sebenar mereka, yang sekadar menetapkan misi 47 emas untuk dibawa pulang. Bagaimana Terengganu mampu menjadi kuasa sukan tempatan yang cukup hebat, ia sesuatu yang harus membuka mata negeri lain apabila menyiapkan atlet masing-masing untuk menghadapi temasya di Perlis, dua tahun dari sekarang.

Bayangkan dalam acara lumba basikal, Terengganu berjaya membolot 12 daripada 18 emas yang ditawarkan, manakala memanah menyumbang sembilan emas dan olahraga dengan lapan emas.

Pada hari kesembilan semalam, Terengganu unggul menambah lapan pingat emas dengan dua daripadanya daripada acara angkat berat, memanah serta hoki dan satu daripada sepak takraw dan tinju.

Selain itu, Terengganu turut cemerlang dalam sukan angkat berat (enam), taekwondo (empat) dan ekuestrian (tiga).

Kecemerlangan Terengganu pada Sukan Malaysia kali ni cukup mengejutkan kerana acara yang menjadi salah satu penyumbang emas terbesar di Melaka, kanu tidak disenaraikan di Pahang. Sebagai rekod, pada Sukan Malaysia 2010 Melaka, Terengganu meraih 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Ketika menjadi tuan rumah pada Sukan Malaysia 2008, kontinjen yang terkenal dengan maskot penyu itu mendapat 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa, untuk muncul juara buat kali pertama.

Selangor yang kelihatan gagah pada awal temasya terpaksa berpuas hati di tempat kedua, buat kali ketiga berturut-turut. Kontinjen Merah Kuning itu turut menghuni tempat kedua di Terengganu dengan 54 emas, 47 perak dan 51 gangsa manakala pada dua tahun berikutnya, mereka hanya dibezakan empat emas di belakang Terengganu selepas meraih 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url