Azizulhasni kecewa gagal dapat pingat Olimpik


"SAYA sudah mengerah seluruh tenaga yang ada tetapi gagal untuk berada dalam tiga kelompok di hadapan. Saya kecewa."

Demikian keluhan jaguh lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang selepas gagal menyempurnakan misi memburu pingat dalam acara keirin yang berlangsung di Velodrome, Olympic Park, London kelmarin.

Pada perlumbaan akhir itu, Azizulhasni menamatkan saingan di tempat keenam, namun pencapaian tersebut lebih baik berbanding temasya di Beijing empat tahun lalu yang menyaksikannya menduduki tempat ketujuh.

Seperti dijangka, perlumbaan tersebut dimenangi pelumba tuan rumah yang juga juara Olimpik sebanyak lima kali, Chris Hoy.

Azizulhasni adalah antara atlet negara yang diramal mampu meraih pingat pada Sukan Olimpik 2012 London selain jaguh badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei.

Sasaran tersebut dibuat berdasarkan reputasi cemerlang yang dipamerkan oleh pelumba kelahiran Terengganu itu pada beberapa siri Kejohanan Dunia sejak tahun 2010.

"Saya sudah memberikan yang terbaik tetapi gagal melaksanakan impian seluruh rakyat Malaysia. Perlumbaan semalam (kelmarin) memang sengit," katanya.

Menurut Azizulhasni, selepas kejayaan melangkah ke pusingan akhir acara keirin itu, nasib tidak begitu menyebelahinya.

Dia diundi untuk berada di lorong kelima yang sudah pastinya memang sukar untuk merebut tempat di kelompok hadapan, namun dia berusaha untuk memintas tiga pelumba di hadapannya.

"Undian juga tidak memihak kepada saya. Saya berada di lorong kelima dan ia memang sukar untuk merebut kedudukan hadapan.

"Pada tiga pusingan terakhir, saya sudah mula mengerah tenaga dan berjaya merebut kedudukan ketiga, namun pada pusingan terakhir, laluan saya sudah ditutup rapat oleh pelumba Belanda, lagi pun ketika itu saya sudah kehilangan tenaga selepas melakukan pecutan awal bagi merebut tempat di hadapan.

"Saya tetap juga mencuba tetapi pada selekoh terakhir, saya sudah dikepung oleh pelumba Belanda dan ruang untuk saya melakukan asakan sudah tertutup rapat," katanya semalam.

Dia juga tidak menolak kemungkinan bahawa pencabarnya itu memang sudah merancang daripada awal perlumbaan untuk menutup segala ruang buatnya.

Selepas ini, Azizulhasni akan bercuti selama tiga bulan sebelum kembali memulakan latihannya di Melbourne.

"Selepas ini saya akan berehat dulu. Sukan Olimpik sudah berakhir dan kini fokus saya ialah untuk mempersiapkan diri bagi misi negara seterusnya.

"Saya akan fokus terhadap persediaan menghadapi Sukan Asia dan Komanwel 2014 selepas ini dan berharap dapat meraih kejayaan.

"Saya juga akan bekerja keras untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan lumba basikal negara, Datuk Naim Mohammad berkata, Azizulhasni kurang bernasib baik pada perlumbaan akhir itu.

"Bila diundi untuk berada di lorong kelima, ia memang sukar untuk duduk di hadapan. Undian tersebut sudah 50 peratus kita akan kalah tetapi Azizulhasni tidak menyerah begitu mudah.

"Dia memang pelumba yang bijak dan tetap berusaha untuk mengambil tempat di hadapan. Dia telah membuat banyak kerja sejak daripada awal perlumbaan dan banyak tenaga sudah digunakan.

"Bila sudah sampai ke pusingan terakhir, dia tetap mencuba tetapi ruangnya untuk melakukan asakan sudah tertutup," jelas Naim.

Menurutnya, seandainya Azizulhasni menduduki tempat keempat pada perlumbaan itu, mereka mungkin mengemukakan protes terhadap 'permainan kotor' pelumba Belanda, Teun Mulder pada perlumbaan tersebut.

"Tetapi Azizulhasni hanya menduduki tempat keenam, dan kalau kita protes sekali pun ia tidak akan menghadiahkan pingat. Kalau dia berada di tempat keempat, kita akan protes," tegas Naim.

Sebelum ini, Azizulhasni yang turut beraksi dalam acara pecut, juga gagal dalam misinya memburu pingat apabila menamatkan saingan acara tersebut di tempat kelapan.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url