Cara China cipta atlet
China memiliki 3,000 sekolah sukan untuk kanak-kanak seawal usia enam tahun.
PERENANG muda China, Ye Shiwen, 16, yang memecahkan rekod dunia dalam acara 400 meter (m) rampaian individu wanita pada Sukan Olimpik London 2012 mula berenang selepas gurunya melihat dia mempunyai saiz tangan dan kaki yang lebih besar berbanding kanak-kanak seusianya.
Dia menjadi sensasi apabila memenangi pingat emas dalam gaya dramatik dengan catatan masanya pada 100m terakhir lebih pantas berbanding juara acara 400m rampaian individu lelaki, Ryan Lochte dari Amerika Syarikat.
Shiwen, yang menyertai sukan renang pada tahun 2003, melepasi jangkaan China untuk mengekalkan kejuaraan dalam acara itu. Sebelum bermulanya Sukan Olimpik London 2012, dia pernah menjadi model untuk bulan renang di negara itu selepas juara dunia, Li Zhesi diuji positif dadah dan diharamkan bertanding.
Akhbar People's Daily turut memuji populariti gadis yang berasal dari Wilayah Zhejiang itu yang naik mencanak seperti roket. Selepas menyertai pasukan Zhejiang pada tahun 2007, dan pasukan kebangsaan pada tahun 2008, Shiwen telah meraih beberapa kemenangan.
"Program latihan saya adalah mencabar tetapi diatur secara saintifik. Saya tidak perlu menghabiskan masa selama berjam-jam di dalam kolam renang setiap hari. Ia juga tidak terlalu mendesak saya," katanya.
Nisbah
Dia yang mendapat latihan di Australia dengan dilatih oleh dua jurulatih terkenal, Ken Wood dan Cotterell Denis pernah memenangi medley individu dalam acara 200m dan 400m pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou dan 200m medley individu pada Kejohanan Dunia 2011 di Shanghai.
Keluar daripada kolam renang, dia juga seperti remaja lain yang gemar membaca novel detektif dan memenuhi masa lapang dengan menonton televisyen.
Jurulatihnya, Wood, yang mengendalikan sebuah akademi renang di Brisbane, Autralia, tempat yang banyak melahirkan perenang handalan China, memberitahu, salah satu faktor yang menyumbang kepada kelajuan Shiwen dalam 50m terakhir berenang ialah faktor nisbah tenaga kepada berat tubuh selain rejim latihan serius yang perlu dijalani oleh remaja di China.
Sementara itu, Pengarah Sukan di Universiti Bedfordshire dan ahli Persatuan Olimpik British, Prof. John Brewer berkata, pada usia remaja, tubuh sangat aktif mengeluarkan hormon yang merangsang perkembangan otot yang sangat berguna dalam sukan kerana ia membantu meningkatkan tenaga dan daya tahan seseorang atlet.
"Dalam masa yang singkat, badan boleh mengalami perubahan secara besar-besaran.
"Semasa tempoh ini atlet muda kadang-kadang tertekan, tetapi akhirnya ia dapat menyebabkan tubuh mencapai prestasi yang lebih tinggi," ujarnya.
Brewer juga percaya ada sesuatu tentang sifat renang yang menjadikan ia lebih mudah bagi atlet muda mempamerkan aksi cemerlang.
"Ia adalah mengenai kuasa dan daya tahan, yang bermaksud perenang muda dapat berlatih dengan lebih kuat," tambah Brewer.
Seorang pakar dalam bidang kesihatan dan senaman di Universiti Exeter, Britain, Prof. Craig Williams yang telah bekerja dengan atlet remaja turut bersetuju dengan pendapat Brewer.
"Peningkatan dalam prestasi juga berkaitan dengan ketahanan mental dan fizikal. Jelas sekali perubahan dalam badan bukan sahaja dari segi kekuatan dan daya tahan, bahkan aspek psikologi juga penting.
"Anda dapat mengendalikan tekanan dan tahu bagaimana untuk melakukannya. Itu boleh membawa perbezaan yang besar," katanya sambil memberitahu, prestasi Shiwen boleh dijelaskan oleh sesuatu yang lebih asas dahulu.
"Saiz populasi negara China turut memainkan peranan. China mempunyai bakat yang ramai untuk dipilih. Jadi kita tidak boleh terlalu terkejut apabila ada seseorang individu dengan bakat yang luar biasa muncul," jelas Craig.
Populasi
Di China, perenang, ahli gimnastik, peninju, pemain badminton dan atlet lain dilatih melalui satu program yang direka kerajaan khusus untuk mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik. Sememangnya China ingin menjadi nombor satu dalam banyak bidang termasuk sukan.
Sejak empat dekad lalu, kanak-kanak seawal usia enam tahun diuji dari segi saiz, kecergasan dan kemahiran sebagai sebahagian daripada program strategi pengenalan bakat negara.
Dengan jumlah penduduk sebanyak 1.3 bilion untuk disaring, lebih daripada 400,000 orang dipilih dan dihantar ke 3,000 sekolah sukan atau kem latihan.
Di situ, mereka tertakluk kepada latihan harian yang tegas dan diet yang ketat. Kanak-kanak itu dipisahkan daripada keluarga selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk memenangi pingat emas.
Bekas Ketua Prestasi Sukan, Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat, Steve Roush, telah melawat China lebih daripada 20 kali pada misi untuk mencari fakta seperti yang didakwa.
Menurutnya, China mempunyai bakat muda yang mahir dan sentiasa ada orang lain yang akan memberikan semangat untuk mereka mencapai apa yang diingini.
"Anda hanya perlu menjadi lebih baik atau keluar daripada jalan yang anda pilih," katanya.
Rejim latihan China yang ketat dan disifatkan sebagai kejam sering disebarkan di internet. Antaranya termasuk gambar seorang kanak-kanak yang menjalani latihan gimnastik menangis kerana terpaksa mengharungi penyeksaan dalam melakukan senaman regangan. Mereka juga berlatih ketahanan tangan selama 30 minit pada satu masa bagi memperbaiki keseimbangan dan kekuatan badan.
Kejam
Semua sekolah itu dihias bendera besar China sebagai peringatan bahawa murid-murid adalah harta negara dan simbol yang mengandungi satu perkataan iaitu emas bagi mengukuhkan semangat cintakan negara.
Menjelang Sukan Olimpik Beijing 2008, pemerhati asing diberi peluang melawat sekolah-sekolah sukan di China. Begitupun, sepanjang lawatan itu mereka tidak menyaksikan penderaan atau ugutan semasa latihan.
Bagaimanapun, legenda Olimpik Britain, Matthew Pinsent, yang membuat dua lawatan ke China menjelang acara sukan itu berkata, dia perlu bersiap sedia dari segi emosi untuk melihat kekejaman rejim latihan yang ditemui semasa lawatan itu.
"Saya tidak mengamalkan rejim latihan yang kejam seperti cara jurulatih di sana berurusan dengan murid-murid. Saya berjaya bercakap dengan beberapa kanak-kanak yang berusia antara lima dan 11 tahun yang mengakui mereka dipukul oleh jurulatih.
"Selepas mendengar pengakuan itu, saya ada memanjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan dan diberitahu bahawa perkara itu sebenarnya tidak terjadi kerana di China, latihan yang dijalani atlet muda mereka dikira sebagai sebahagian daripada proses mencipta kejayaan," jelas Pinsent.
- KOSMO!