IKBN Penawar hab sijil keselamatan

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Penawar, Johor yang bakal memulakan pengambilan pada Januari depan akan diangkat sebagai hab pengiktirafan sijil keselamatan dan alam sekitar bagi industri minyak serta gas negara.

Melalui kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Petronas, pembangunan sumber manusia dalam bidang berkemahiran tinggi dengan penyertaan golongan belia akan dilahirkan melalui perpindahan teknologi dalam bidang minyak dan gas.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Institut Teknologi Petronas akan mula melatih seramai 20 orang tenaga pengajar IKBN Oktober nanti dalam merangka kokurikulum dan modul yang berkaitan untuk pembelajaran.

Ujarnya, pembangunan projek kompleks integrasi petroleum yang pesat dijalankan di Pengerang, Johor akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan berasaskan kemahiran dan kepakaran dalam sektor industri minyak dan gas.

"Dalam tempoh beberapa tahun lagi, kita akan memerlukan tenaga pakar dalam bidang tersebut dan ia merupakan peluang kepada belia tempatan untuk menceburi sektor tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Kerjasama Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas antara KBS dan Petronas di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed, Ketua Pegawai Operasi Urusniaga Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Presiden Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Raiha Azni Abd. Rahman.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url