Rancang kewangan

APAKAH kemuncak hidup anda? Adakah ketika berusia 33 tahun tatkala anda merasakan sudah memiliki dunia ini?

Pada usia tersebut seseorang itu mungkin sudah merasa seperti berada di persada kehidupan kerana sudah bebas, terutamanya bebas daripada segi membelanja duit yang ada dengan membeli apa sahaja yang diingini dan menikmati apa juga gaya hidup yang dimahukan atau yang terlintas di fikiran.

Pada usia itu sudah pasti telah memiliki kereta idaman, rumah impian dan mungkin baru sahaja mendirikan rumah tangga dan melayari hidup berkeluarga dengan insan tersayang.

Usia tersebut mungkin boleh diibaratkan sebagai saat bahagia dalam hidup kerana boleh bersantai bersama-sama rakan, lepak dengan kawan-kawan sambil minum di kafe eksklusif atau makan malam di restoran mewah.

Pastinya juga naluri anda mendorong untuk merancang melancong ke luar negara yang mana ia adalah satu kebiasaan dalam menikmati erti kehidupan.

Pada saat itu tentunya anda merasakan cukup bahagia tanpa ada sebarang kerisauan di hati.

Maklumlah, umur masih mudah dan banyak lagi detik-detik kebahagiaan yang menanti.

Sewajarnya anda memang berhak menikmati segala pendapatan yang diperolehi. Jadi anda beranggapan, 'belanja dulu, simpan kemudian'.

"Tetapi anda tidak tahu 'kemudian' anda mungkin menjadi terlalu lewat satu hari nanti.

"Adakah anda mempunyai pendapatan yang mampu mengekalkan gaya hidup yang anda ingini semasa bersara," kata Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Sdn. Bhd., Zainudin Ishak.

Katanya, itulah situasi yang menjadi lumrah hidup di mana menyimpan untuk persaraan bukanlah keutamaan generasi muda zaman kini.

Menurutnya, ketika itu mereka sibuk untuk memenuhi pelbagai komitmen lain.

"Bukan anda seorang saja yang menghadapi situasi sebegini. Menurut laporan HSBC Future of Retirement 6: The power of Planning, 69 peratus responden di Malaysia bimbang mereka mungkin tidak dapat menampung hidup mereka bila tibanya usia persaraan," jelasnya.

Apabila ditanya apa kebimbangan utama dalam hidup, kejadian yang tidak diduga dalam kehidupan menjadi sebab paling utama.

Ini menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia menyedari hakikat bahawa mereka harus lebih proaktif dalam memahami kepentingan perancangan kewangan untuk persaraan dan mengambil kawalan yang lebih besar berkenaan perancangan kewangan mereka.

"Laporan HSBC Future of Retirement 6: The power of Planning juga mendedahkan bahawa 34 peratus rakyat Malaysia belum bersedia secukupnya, dari segi kewangan, untuk menampung kehidupan mereka semasa bersara," ujar Zainudin .

Oleh itu katanya, adalah penting untuk membina tabiat menyimpan dan memilih produk pengurusan kewangan yang mempunyai potensi memberi manfaat dalam jangka masa panjang kerana ia membolehkan seseorang itu menikmati kehidupan mereka sepenuhnya semasa bersara.

Di samping itu kata beliau, memulakan perancangan kewangan seawal mungkin akan memberikan perbezaan yang ketara terhadap dana persaraan.

Menurutnya, tanggungjawab yang lebih besar akan diletakkan di atas individu itu sendiri untuk menyediakan diri untuk persaraan mereka sendiri.

Menurut laporan itu lagi, Malaysia mengetuai dunia dari segi tingkah laku perancangan kewangan, di mana 84 peratus daripada responden sudah mempunyai pelan kewangan untuk masa depan mereka.

Ini menunjukkan responden di Malaysia memang proaktif memikirkan masa depan masing-masing - lebih-lebih lagi apabila 60 peratus selesa merancang sendiri tanpa mendapatkan nasihat professional.

Sementara itu 27 peratus lagi merupakan perancang kewangan yang aktif dan mendapatkan nasihat profesional sebagai maklumat tambahan.

Di Malaysia, generasi muda mendahului dalam perancangan kewangan, di mana 86 peratus dalam lingkungan umur 30-39 tahun mempunyai pelan kewangan.

Dibandingkan dengan golongan berumur 50-59 tahun di mana hanya 81 peratus mempunyai pelan kewangan.

Kebimbangan paling tinggi golongan yang berusia 30 - 39 tahun ialah mereka harus menjaga ibu bapa semasa bersara berbanding kumpulan usia lebih tua.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url