Halia Bentong rahsia sup enak


AROMA sup tulang yang dimasak di dapur Restoran Minang Sri Selesa sudah mampu membuatkan pelanggan kecur air liur.

Sup tulang di restoran yang terletak di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Pahang itu terkenal dalam kalangan pelanggan tempatan dan luar termasuk dari Kuala Lumpur.

Menurut pemilik restoran tersebut, Refni Agus Salim, 50, rahsia keenakan sup tersebut terletak pada jenis dan jumlah halia yang dicampurkan ke dalam sup tulang itu.

"Kalau masak 40 kilogram (kg) tulang lembu, mesti guna lebih satu setengah kg halia biasa. Jika guna halia Bentong, setengah kg sahaja sudah mencukupi.

"Rasa halia Bentong lebih pedas, serabut lebih halus, dan kandungan seratnya tinggi," kata Refni atau lebih mesra dengan panggilan Kak Mi ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.

Keistimewaan halia Bentong itu menambahkan keenakan sup Kak Mi, namun disebabkan harganya mahal menyebabkan beliau berfikir banyak kali sebelum membelinya.

Harga halia Bentong kini mencecah lebih RM15 sekilogram di pasaran berbanding halia biasa iaitu RM2 sekilogram. Walaupun Bentong pusat pengeluaran halia berkenaan, harganya tetap tinggi.

Halia Bentong yang tergolong dalam tanaman rizom cukup terkenal dalam kalangan penggemar tanaman halia. Nama saintifik halia ialah Zingiber officinale.

Halia Bentong mempunyai serabut yang halus, kandungan serat dan air tinggi, mudah dipotong serta isinya berwarna kuning cerah.

Halia ini boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerol dan oleoresin. Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubat-ubatan.

Tanaman halia di daerah Bentong diusahakan sekitar tahun 1963. Petani kaum Cina merupakan golongan terawal yang memulakan penanaman ini di sekitar Kampung Bukit Tinggi dan Kampung Janda Baik.

Terletak kira-kira 700 meter pada aras laut dan purata taburan hujan sekitar 187 milimeter sebulan, kedua-dua kawasan berkenaan memang sesuai untuk tanaman itu.

Meneroka hutan

"Kira-kira lima dekad lalu, bapa saya meneroka hutan di sini bagi tujuan menanam halia. Pokok-pokok ditebang dan semak samun dibersihkan sebelum dibakar. Selepas kawasan bersih barulah digali lubang untuk menanam benih halia.

"Benih halia kemudiannya ditutup dengan plastik hitam, disiram setiap hari dan dibaja. Kawasan seluas 0.4 hektar mampu memuatkan sebanyak satu tan anak benih halia," kata Loo Yin Chin, 64, seorang pengusaha tanaman Halia Bentong di Kampung Bukit Tinggi.

Di kampung ini, kira-kira 40 peratus daripada 400 keluarga menanam halia yang diusahakan di ladang-ladang milik persendirian atau disewa daripada pihak tertentu.

Sekiranya tanaman halia itu mengeluarkan hasil yang baik, seorang petani mampu memperoleh sehingga 10 tan bagi kawasan seluas 0.4 hektar.

Yin Chin yang mempunyai ladang halia seluas kira-kira 1.2 hektar pada peringkat awal hanya membantu bapanya. Bagaimanapun, kini beliau mewarisi pekerjaan yang mampu memberikan hasil lumayan itu.

Menurut Yin Chin, dalam tempoh lapan bulan, halia tersebut matang dan sedia untuk dijual. Pada masa ini, pasaran halia Bentong mendapat permintaan tinggi, namun pengeluarannya agak terhad.

Halia di ladang dijual kepada peraih pada harga antara RM8 hingga RM10 sekilogram. Kebanyakan peraih halia Bentong mempunyai pasaran masing-masing termasuk dihantar ke pasar borong.

Hasil maksimum

Seorang pengusaha, Lok Kam Soi, 65, yang juga mempunyai 1.2 hektar ladang halia memberitahu, pemilihan kawasan tanaman amat penting bagi memastikan halia yang ditanam mengeluarkan hasil maksimum.

Kawasan yang ditanam halia memerlukan masa beberapa bulan bagi memastikan tanah tersebut kembali subur sebelum boleh ditanam semula dengan benih halia yang baharu.

Jika tidak, halia yang ditanam di kawasan sama akan dijangkiti penyakit sekali gus merugikan penanam.

"Untuk menanam halia memerlukan modal yang besar, jika hasil tidak seberapa boleh gulung tikar," katanya ketika ditemui di Bentong baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamad Ithnin Majid, 49, dari Kampung Janda Baik menceburi penanaman halia sejak dua dekad lalu setelah mendapati orang Cina memperoleh pendapatan yang lumayan.

Walaupun sebelum ini beliau pernah mencuba pelbagai pekerjaan termasuk di ibu negara, Mohamad Ithnin mengambil keputusan pulang ke kampung dan bekerja dengan seorang rakannya yang mengusahakan tanaman halia Bentong.

Ambil risiko

Sambil bekerja, dia mengambil peluang mengusahakan sendiri ladangnya.

"Pada masa itu, saya masih muda, segala kerja saya boleh lakukan sendiri seperti menebang pokok, membuat lubang, menanam, menyiram, meracun dan merumput.

"Ladang-ladang pula jauh di dalam hutan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda atau motosikal untuk ke sana. Walaupun sukar, Alhamdullilah semuanya dapat dilakukan dengan baik," kata beliau.

Menurut Mohamad Ithnin, pengusaha tanaman halia perlu berani mengambil risiko kerana tanaman ini memerlukan modal yang besar selain harga pasaran yang tidak menentu. Halia juga mudah diserang penyakit.

"Sepanjang terbabit dengan penanaman halia saya pernah berdepan saat sukar apabila harga halia merudum. Saya melabur kira-kira RM50,000 tetapi hasilnya hanya RM60,000, Hanya pulang modal sahaja dan ia tidak termasuk upah pekerja dan kos-kos lain," katanya terdapat tiga kaum Melayu sahaja yang mengusahakan tanaman halia di kampung berkenaan.

Meskipun mampu memberikan pulangan yang lumayan, golongan muda dilihat kurang berminat menceburi bidang tersebut.

Jelasnya, golongan muda lebih selesa keluar bekerja di bandar daripada menceburkan diri dalam bidang pertanian. Di kampung berkenaan, setakat ini masih belum terdapat generasi muda yang terbabit secara serius menanam halia.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url