Perunding Imej - Jadikan diri lebih yakin
Namun, tidak ramai memiliki perwatakan semula jadi yang positif serta berkeyakinan kerana ada yang harus dibentuk. Di sinilah pentingnya khidmat perunding imej kerana mereka bukan saja berperanan mengubah penampilan semata-mata, tetapi mengembalikan keyakinan dengan mengenal pasti aspek dalaman yang boleh diperbaiki supaya menjadi lebih positif dan berharga.
Di dalam organisasi pula, imej pekerja melambangkan reputasi serta kredibiliti keseluruhan syarikat. Untuk itu, perunding imej berfungsi membina jenama korporat yang berkesan dengan melatih kakitangan untuk tampil setaraf imej syarikat serta memperbaiki komunikasi mereka.
Jika dulu kerjaya perunding imej kurang diberi perhatian, tetapi dengan peredaran masa serta peningkatan gaya hidup sosial, kerjaya ini bukan hanya dilihat untuk ‘mencantikkan’ seseorang, malah merangkumi skop yang begitu luas termasuk menjadi jurucakap, menyelaras pertunjukan fesyen, perunding dan pereka pakaian, pendandan hijab, jurusolek, perunding etika, penyelaras protokol, pereka aksesori, pengusaha butik pengantin atau pakar penjenamaan korporat.
Malah khidmat rundingan bukan saja untuk individu, tetapi kumpulan termasuk remaja dan kanak-kanak.
Menurut Presiden Persatuan Perunding Imej Sedunia (AICI), Aziah Jasmin Azizul Hassan, Malaysia mempunyai ramai perunding imej, tetapi sebenarnya tiada standard mengiktiraf kerjaya ini sehinggakan kredibiliti mereka kurang menyerlah serta dipandang rendah. Keadaan ini berbeza di luar negara apabila perunding imej mempunyai nilai profesionalisme yang tinggi sama seperti kerjaya di bidang guaman, perubatan, perakaunan serta pendidikan.
Menyedari kerjaya ini sangat luas serta membawa pengaruh yang besar dalam masyarakat, Aziah terfikir untuk menaik taraf kerjaya ini supaya setanding bidang lain. Oleh itu, pada 2007, dia mengambil ujian di Amerika Syarikat bagi melayakkannya menerima sijil dalam bidang rundingan, seterusnya menubuhkan Persatuan Perunding Imej Sedunia yang setakat ini mempunyai 30 ahli bertauliah.
“Walaupun bidang perundingan imej memberi kesan yang besar dalam kehidupan, masyarakat masih belum nampak arah tujuannya. Selain itu, perunding imej sendiri perlu mempelajari lebih banyak perkara sebelum layak melatih orang lain dan bergelar perunding imej,” katanya.
Justeru, bagi memartabatkan kerjaya ini setanding pekerjaan di bidang profesional lain, Aziah bersama beberapa perunding imej lain menyediakan modul latihan merangkumi keseluruhan pembelajaran sesuai dengan suasana persekitaran di Malaysia mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan diiktiraf Kementerian Sumber Manusia.
“Dengan kewujudan persijilan ini secara sah, ia dapat membuka peluang pekerjaan yang lebih luas terutama dalam organisasi yang memerlukan khidmat rundingan secara peribadi. Kini, banyak syarikat bercakap mengenai imej syarikat, tetapi tidak menyediakan ruang kepada kakitangan mendapatkan ilmu mengenainya. Mungkin pada masa depan, kewujudan jabatan berkaitan penampilan dan imej dapat membantu melatih kakitangan yang baru berkhidmat untuk menjadi lebih yakin dan berpersonaliti menarik sejajar imej korporat,” katanya.
Dalam bidang perundingan imej, terdapat tiga elemen utama yang harus dititikberatkan iaitu penampilan, sikap dan komunikasi. Ini kerana perubahan individu bukan hanya dinilai menerusi aspek fizikal semata-mata, tetapi membabitkan sikap dan cara berhadapan dengan orang ramai. Dalam hal ini, untuk mengubah karakter bukanlah dalam masa yang singkat kerana ia merangkumi cara seseorang berfikir dan berkomunikasi.
“Perubahan personaliti berkaitan minda seseorang. Oleh itu, perunding imej harus mengubah persepsi serta cara berfikir menjadi lebih positif. Perlakuan ini juga harus dipraktikkan sehingga menjadi kebiasaan dan amalan seharian. Sekiranya individu tidak mengamalkannya, tidak mustahil mereka akan kekal dengan cara lama,” jelasnya.
Selain menonjolkan keyakinan dan kelebihan masing-masing, seseorang itu tidak perlu memakai pakaian mahal dan berjenama. Sebaliknya, pakaian murah jika kena gayanya akan nampak cantik serta menampilkan kredibiliti seseorang.
“Namun, tidak semua orang memiliki kelebihan ini. Ada yang dikurniakannya secara semula jadi, tidak kurang pula perlu mempelajari menerusi buku, majalah atau mendapatkan khidmat perunding imej. Ini kerana tidak semua rekaan sesuai untuk semua potongan badan.
“Mereka yang memiliki bentuk badan gempal dan besar memerlukan jenis potongan tertentu, begitu juga mereka yang kurus dan rendah,” jelasnya yang memberitahu tugas mencantikkan seseorang bukan hanya pada pada luaran tetapi termasuk minda mereka.
Selain itu, imej juga berkaitan dengan sikap, cara seseorang itu dibesarkan, insan di sekeliling mereka serta pengaruh persekitaran. Semua ini harus dikaji kerana ia menjadi penentu sejauh mana seseorang itu mampu memperbaiki diri dan meningkatkan keyakinan diri.
“Sebagai contoh, ramai tidak tahu warna mempengaruhi gaya serta cita rasa seseorang. Individu yang menggemari rona biru biasanya bersifat lembut dan mudah diajak berbincang. Mereka yang memilih warna malap dan gelap biasanya lebih suka menyendiri manakala warna ceria seperti merah, jingga dan hijau dikaitkan dengan personaliti periang dan peramah. Begitu juga mereka yang menggemari pakaian berbunga berbanding polos. Semua ini mempunyai makna tersendiri,” katanya.
Komunikasi pula berkaitan bahasa badan serta perkataan dikeluarkan. Ini kerana kedua-duanya saling berhubung dan mampu menyampaikan mesej kepada orang lain.
Bagi individu yang mengetahuinya, mereka mampu menyembunyikan bahasa tubuh ketika berhadapan dengan orang lain.
Dalam pada itu, walaupun ramai menyedari kepentingan mendapatkan khidmat perunding imej, ramai juga yang menidakkan kewujudannya disebabkan bayaran terlalu mahal. Senario ini menyebabkan ada antara pelanggan tidak mahu mendapatkan khidmat profesional dan sanggup mendapatkan nasihat rakan atau keluarga.
Jelas Aziah, bayaran dikenakan bukanlah sesuatu yang tetap, sebaliknya bergantung kepada bajet pelanggan dan sejauh mana mereka inginkan perkhidmatan jururunding imej.
“Jika masyarakat menilai bidang lain secara profesional, konsepnya sama saja.
Perunding imej menjalankan tugas mengikut standard ditetapkan dan sewajarnya bayaran dikenakan berpatutan dengan khidmat diberikan,” jelasnya.
AICI yang ditubuhkan pada 2010 kini aktif merangka pelbagai aktiviti bukan saja untuk ahli persatuan tetapi juga orang ramai. Antaranya, pada 15 Disember ini diadakan program amal penjualan barangan artis bagi mengutip dana untuk pesakit lupus. Mereka yang berminat boleh menghantar e-mel menerusi starstudioimage@gmail.com atau menghubungi talian 03-62114844.
- HARIAN METRO