Saluran TV wanita bakal dilancar

Saluran televisyen wanita pertama di negara ini, Femina Channel bakal dilancarkan bagi mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata langkah itu amat bertepatan dalam membantu merealisasikan aspirasi kerajaan mencapai status negara maju.

Sambil memuji usaha berkenaan, beliau berkata saluran televisyen adalah perantara utama komunikasi yang berupaya mempengaruhi cara masyarakat berfikir.

Penuhi citra tempatan

“Pengisian saluran TV perlu memenuhi citra tempatan tanpa membelakangkan budaya luhur. Hala tuju dan gerak kerja rancangan perlu dipantau bagi memastikan apa yang ditayangkan kepada umum bukan sekadar hiburan malah mendidik masyarakat dalam pelbagai ilmu kehidupan.

“Saya menaruh harapan supaya saluran Femina ini mampu memperkasa peranan serta pencapaian wanita di Malaysia serta menjadi landasan menyampaikan maklumat berfaedah.” katanya pada majlis pelancaran Femina Channel di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Serdang.

Saluran itu bakal dipancarkan secara percuma, bagaimanapun ia hanya akan memulakan tayangan percubaan awal tahun depan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Panomax Malaysia, Mohd Johari Mohd Noor, berkata Saluran Femina adalah saluran berkonsepkan kekeluargaan khusus untuk wanita di negara ini serta rantau Asia.

Katanya, program yang bakal disiarkan sesuai untuk tatapan golongan hawa dan akan diadun secara kreatif dan inovatif supaya mesej yang disampaikan lebih berkesan dan selaras dengan kematangan pemikiran penonton.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url