Allah pemberi rahmat
SETELAH Allah SWT menyebut pelbagai nikmat-Nya yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya, antaranya Dia menghidupkan bumi yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan, kemudian Dia menyebut pula nikmat-nikmat-Nya yang lain seperti; menciptakan jalan-jalan yang terdapat di lautan atau di daratan sehingga manusia mampu menggunakan jalan tersebut untuk mencari rezeki walaupun di negeri yang jauh.
Firman Allah SWT: Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat. (Yasin: 41)
Ibnu Kathir berkata: "Perahu yang dipenuhi barang-barang dan haiwan yang berpasang-pasangan diperintahkan oleh Allah SWT. Demikian yang dikatakan oleh Sa'id bin Jubair, al-Sya'bi, Qatadah dan al-Suddi sedangkan al-Dahak dan Ibnu Zaid berkata: Iaitu perahu Nuh as."
Al-Sabuni berkata: "Pada mukadimah ayat ini, ditanggung dengan tiga makna iaitu pengajaran bagi mereka. Ini kerana pada ayat-ayat Allah penuh iktibar. Yang kedua nikmat ke atas mereka. Ini kerana pada ayat-ayat penuh dengan pemberian nikma dan ketiga peringatan bagi mereka. Ini kerana pada ayat-ayat Allah penuh dengan peringatan."
Berkenaan dengan dua dhomir (ganti nama) berlainan seperti yang dinukilkan oleh al-Mahdawi. Adapun pendapat yang lain, dua dhomir kembali kepada penduduk Mekah.
Al-Maraghi berkata: "Antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT ialah Dia menjadikan manusia mampu mengenderai kapal-kapal yang dimuatkan dengan pelbagai jenis barang dagangan dalam bentuk bahan makanan dan lain-lain yang mereka angkut dari satu daerah ke daerah yang lain."
Sekiranya Dia tidak melakukan demikian, tentu manusia tidak akan mempunyai keturunan dan generasi untuk meneruskan kehidupannya.
Firman Allah SWT: Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya. (Yasin: 42)
Terdapat tiga pandangan ulama iaitu Al-Aufi berkata daripada Ibnu Abbas ra yang dimaksudkan adalah unta. Ini kerana unta bahtera daratan yang digunakan membawa sesuatu dan ditunggang.
Riwayat yang lain, unta dan segala binatang yang boleh ditunggang. Ia bermaksud kapal atau perahu. Pendapat ini juga dinyatakan oleh Abu Malik termasuk perahu yang kecil.
Al-Maraghi berkata: "Kami ciptakan pula kenderaan lain yang dapat dikenderai di daratan seperti unta yang mampu menempuh perjalanan di padang pasir. Ini berdasarkan seperti yang dikatakan oleh seorang penyair Unta diibaratkan kapal-kapal di daratan. Padang pasirnya diibaratkan lautan."
Dalam ayat ini Allah SWT tidak menentukan apa sahaja yang dikenderai oleh manusia, tetapi Dia menyebutkan ma yarkabun, kerana Dia Maha Tahu pelbagai kenderaan yang akan dicipta oleh manusia. Justeru, dianggap sebagai mukjizat selain al-Quran.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa Allah Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak-Nya.
Menariknya al-Quran membuka minda manusia supaya berfikir berkenaan dengan kekuasaan Allah melalui pengamatan segala ciptaan-Nya. Ini sudah tentu membawa keinsafan kepada semua manusia yang mengambil iktibar dan pengajaran.
Begitu juga Allah SWT mengisahkan betapa perjalanan masa mengikut ketentuan-Nya yang boleh melakukan apa sahaja.
Oleh itu, sewajarnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku dan juga hasil ciptaan Allah SWT yang boleh mendekatkan kita kepada-Nya.
- UTUSAN