Serangan Gaza: Anggota Parlimen Gesa Dunia Bersatu Hati Tekan Israel



KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen termasuk pembangkang hari ini menggesa dunia supaya bersatu hati untuk terus memberikan tekanan kepada Israel agar menghentikan serangan ke atas rakyat Gaza di bumi Palestin.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berkata kuasa besar dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)perlu duduk semeja dan menyelesaikan konflik ini bersama-sama.

"Berilah peluang kepada penduduk Gaza untuk hirup udara segar dan hidup seperti biasa seperti penduduk lain di muka bumi ini," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Selasa.

Usul tergempar bertajuk 'Mengecam Serangan Kejam oleh Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza' dibentang di Dewan Rakyat hari ini.Usul telah dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) pula berkata tekanan itu penting supaya dunia dapat bersatu hati menentang kekejaman rejim Zionis yang berterusan menyerang bumi Gaza sehingga membawa kematian kepada kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Ini satu usul yang penting dan isyarat jelas dari rakyat Malaysia yang menentang kezaliman regim Zionis terhadap rakyat Palestin.

"Kita perlu terus berusaha memberi tekanan kepada Israel supaya kita dapat membebaskan bumi Palestin dari kekejaman rejim Zionis," katanya.

Sementara itu Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) berkata seharusnya sudah ada mesyuarat tergempar antara Majlis Keselamatan PBB untuk mengusulkan gencatan senjata kerana apa yang berlaku ketika ini tidak boleh diterima dunia.

Salahuddin Ayob (PAS-Kubang Kerian) pula berkata Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu itu dan tidak boleh berharap kepada PBB sahaja. "Patut ada inisiatif lain seperti memainkan peranan sebelum ini dalam pemeteraian Kerangka Perjanjian Damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang diadakan pada Oktober lepas.

"Maka kalau itu (kerangka perjanjian) boleh kita lakukan, tiada masalah untuk main peranan yang lebih dari PBB. Kita mampu bagi komitmen," katanya.

Dalam pada itu anggota Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Balik Pulau Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata hak asasi manusia perlu diangkat lebih tinggi dan seharusnya keganasan yang berlaku ketika ini perlu dihentikan.

"Dalam hal ini, peranan Malaysia perlu lebih jelas supaya diikuti Parlimen lain," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url