Carilah penerang hati ubati kesihatan mental

Oleh DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

TEKANAN atau stress yang sering kita dengar secara umumnya merupakan tekanan terhadap kehidupan yang mencabar dan pelbagai masalah yang perlu dihadapi setiap hari.

Masalah silih berganti dan cabaran datang tanpa henti. Setiap perkara perlu diselesaikan segera menyebabkan jiwa dan perasaan terganggu.

Kadang kala tekanan muncul apabila perlu ditentukan yang mana perlu diletakkan sebagai prioriti apabila semua tugasan datang serentak. Kerja di pejabat, keluarga di rumah dengan kos sara hidup yang tinggi semuanya perlu dihadapi dengan tenang dan mental yang sihat.

Tekanan perasaan boleh dihindari jika kita berupaya meningkatkan kemampuan dan keyakinan diri untuk mengatasinya. Puncanya perlu dicari dan cara mengatasi perlu penawarnya. Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk menghilangkan stress.

Walaupun kita tidak mungkin dapat menyelesaikan keseluruhan stress, namun dengan rehat seketika di antara waktu kerja boleh melegakan ketegangan emosi, kekusutan fikiran dan ketegangan fizikal.

Memendam rasa merupakan salah satu puncanya atau dikatakan makan hati berulam jantung sama ada tersurat dan tersirat yang melibatkan akal, pemikiran atau proses intelektual. Jika tekanan perasaan dijuruskan kepada perasaan dan fikiran yang negatif, ia berkemungkinan akan mengakibatkan mental menjadi tidak siuman, sakit otak atau gila.

Seseorang yang mengalami masalah apabila jiwanya senipis bawang, dan apabila jiwanya sekeras besi tetapi mentalnya tetap lemah dan jika tidak dikawal dengan betul maka pelbagai perkara akan terjadi.

Masyarakat yang mempunyai mental yang terganggu boleh merencatkan pembangunan jati diri dan negara. Jiwa kosong, hati menjadi kering tanpa pegangan agama yang kuat dan kurangnya kasih sayang adalah sebahagian daripada puncanya.

Dalam sebahagian kes jenayah sosial pula, adakala penjenayah dibebaskan jika dikatakan mempunyai rekod masalah kesihatan mental. Adilkah keputusan itu? Lantaran masalah mental dan perbuatan dilakukan tanpa sedar maka mereka tidak boleh dihukum.

Jenayah-jenayah sosial semuanya dilakukan oleh mereka yang imannya lemah, mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan akibatnya. Adakah penjenayah itu mempunyai masalah mental atau iman mereka terlalu rapuh sehingga terlibat dalam gejala negatif seperti pengambilan dadah, arak, pil khayal yang dikatakan dapat menyelesaikan segala kebuntuan. Akhirnya ia menjadi punca mereka melakukan jenayah sosial.

Hari ini, masyarakat Malaysia dikatakan menghadapi masalah sakit mental yang serius dengan 12 peratus rakyat negara ini atau 3.5 juta orang menghidap penyakit mental. Tinjauan Kesihatan Morbiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Tinjauan juga menunjukkan wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki. Adakah wanita lebih stress dengan memikul pelbagai tanggungjawab dan beban?

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental golongan remaja daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus pada 2011 kerana pengaruh Internet dan teknologi komunikasi dan kesibukan ibu bapa.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa pula ialah 11.2 peratus berbanding 10.6 peratus pada 1996. Bilangan pesakit mental di negara ini dijangka terus meningkat dalam masa 10 tahun akan datang.

Semua rakyat menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan mengadakan ujian kesihatan mental terhadap pelajar sekolah menengah tahun ini sebagai kaedah menangani tekanan perasaan atau isu disiplin. Projek mengesan kesihatan mental pelajar sekolah menunjukkan tahap keresahan, kemurungan dan stress mereka berada pada tahap yang disifatkan sebagai 'tinggi'.

Daripada 6,540 murid yang disaring dalam projek perintis dikenali 'Program Minda Sihat Menangani Stress Dalam Kalangan Murid Sekolah' itu, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus mengalami tanda kemurungan teruk dan 4.8 peratus mengalami stress teruk.

Pada November lalu, kita dikejutkan dengan berita seorang bapa yang dipercayai sedang khayal akibat mengambil dadah menyembelih bayinya yang berusia 11 bulan di Felda Panching Selatan. Suspek didapati positif dadah metamphetamine dan amphetamine selepas ujian air kencing. Pengaruh dadah menyebabkan kesihatan mental terganggu dan mendorong melakukan perbuatan tanpa disedari. Apabila sedar semuanya telah terlambat.

Jika kita imbas kepada satu lagi kejadian, seorang pemuda bertindak menyimbah sebaldi cuka getah melalui tingkap terbuka kerana berang cintanya dihalang. Sikap yang terlalu mengikut perasaan kepada keluarga teman wanitanya boleh kita kaitkan dengan masalah jiwa yang rapuh atau kesihatan mental? Tergamak melakukan perbuatan yang sekejam ini menceroboh dan turut mencederakan seorang bayi yang berusia enam bulan sehingga maut manakala kakak dan ibu bayi parah.

Selain itu, berita seorang guru yang menggigit lengan muridnya hingga cedera hanya kerana tidak dapat menyebut perkataan "boy's" dengan betul menyebabkan murid berkenaan Farhan mengalami tekanan perasaan dan trauma. Kajian menunjukkan golongan guru ialah kumpulan keempat tertinggi dalam menghadapi tekanan dengan 45.8 peratus dan golongan tertinggi ialah kumpulan polis dengan 53.7 peratus.

Dalam menangani kes mental ini, institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan lain-lain juga dilihat perlu mengambil peranan selain badan-badan sosial lain.

Tanggungjawab merawat pesakit mental ini tidak seharusnya diserahkan sahaja bulat-bulat kepada Kementerian Kesihatan. Institusi agama boleh memainkan peranan yang berkesan dalam membantu Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan demi menangani masalah yang serius ini. Carilah penerang hati bukan pil penenang dengan kuatkan jiwa dengan cahaya keimanan. Salam 1Hati.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url