Top Ad 728x90

Akhlak usahawan berjaya

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

APABILA kita menyelusuri sirah Nabi SAW, kita akan dapati bahawa baginda pernah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Kehebatan baginda dalam menguruskan perniagaannya menyebabkan Khadijah r.ha terpikat dan terpaut hati kepada baginda.

Rasulullah SAW dapat meningkatkan penghasilan dan keuntungan perniagaannya dek kerana akhlak baginda yang terpuji yang dapat meyakinkan pelangan-pelanggan ketika itu, di samping strategi perniagaan yang mantap.

Maka tidak hairanlah baginda SAW bukan sahaja dikagumi oleh orang Islam, tetapi juga orang bukan Islam. Michael Hart menulis dalam bukunya, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History (100 orang paling berpengaruh dalam sejarah), beliau memilih Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah. Buku berkenaan telah terjual sebanyak 500,000 naskhah dan diterjemahkan dalam 15 bahasa.

Beliau memberikan ulasan: My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world's great religions, and became an immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive.

Kejayaan hakiki sebagai ahli perniagaan adalah apabila mereka boleh menghasilkan sesuatu dalam bentuk better than best di mana mereka mampu menikmati 'senang' dan 'tenang' dalam pekerjaannya. Untuk memperoleh kedua-dua pencapaian ini, mereka perlu menjadi seorang "mukmin yang profesional" sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ...Sesungguhnya orang yang paling baik untuk engkau berikan kerja ialah orang yang kuat lagi amanah. (al-Qasas: 26)

Contoh Mukmin yang profesional tidak lain tidak bukan adalah baginda SAW. Justeru, apabila kita menyelusuri peribadi Rasulullah SAW, terdapat sekurang-kurangnya empat akhlak utama yang perlu diamalkan oleh setiap ahli perniagaan.

Sifat siddiq

Pertama, seorang ahli perniagaan perlu mempunyai sifat siddiq (benar). Setiap transaksi yang dibuat dan bayaran yang diambil perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

Sekiranya terdapat caj-caj tambahan yang ingin diambil, syarikat perlu memaklumkannya kepada pelanggan-pelanggan sebelum mereka menandatangani sebarang kontrak.

Oleh sebab itu, sekiranya perniagaan tersebut dilaksanakan oleh syarikat, maka sebaik-baiknya syarikat tersebut perlu mempunyai anggota-anggota penasihat syariah yang diiktiraf.

Mereka perlu sentiasa berperanan dalam memastikan operasi syarikat tersebut menepati prinsip dan kehendak syariah, sekali gus mengelakkan daripada sebarang salah laku dalam pentadbiran dan untuk menjamin ketelusan dalam perniagaan mereka.

Mereka juga perlu peka dan sensitif terhadap segala perkembangan syarikat termasuklah pentadbiran, aktiviti, operasi dan produk-produk yang dikeluarkan.

Pihak pengurusan syarikat juga perlu telus dan jujur dalam memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Syariah supaya maklumat-maklumat yang penting tidak tercicir daripada pengetahuan mereka.

Ketika mempromosikan produk, syarikat perlu benar dalam menyatakan ciri-ciri yang ada pada produk-produk tersebut. Jangan berlebih-lebihan dalam berkata-kata sehingga sampai ke tahap berbohong demi menarik minat masyarakat terhadap produk berkenaan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para nabi, golongan orang-orang yang benar dan para syuhada". (riwayat Tirmidzi)

Amanah

Akhlak kedua yang perlu dihayati oleh ahli atau syarikat perniagaan adalah amanah. Dalam hal ini, setiap warga kerja syarikat termasuklah ahli lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan perlu menyedari bahawa setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak syarikat pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Jangan sekali-kali melakukan penipuan dan penyelewengan sehingga menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat.

Sifat amanah ini perlu dalam memastikan nilai integriti di kalangan pekerja dapat dipertingkatkan dan sekali gus ia tidak menganiaya para pelanggan.

Janganlah disebabkan ingin mengejar keuntungan yang disasarkan menyebabkan kita menzalimi para pelanggan.

Menyampaikan

Akhlak ketiga yang perlu disematkan adalah tabligh (menyampaikan). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "… Allah memberikan cahaya (menyinari) kepada seseorang yang mendengar percakapanku, maka dia menerimanya dan memeliharanya (menghafalnya) dan menyampaikannya…." (riwayat Tirmidzi)

Ahli atau syarikat perniagaan perlu menggunakan wadah perniagaannya tersebut untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Inilah masanya mereka dapat membuktikan kebaikan yang ada pada sistem kewangan Islam yang berteraskan al-Quran dan sunnah.

Inilah detiknya mereka ingin menyelamatkan manusia daripada elemen-elemen yang bercanggah dengan syariah Islam seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (perjudian) dan riba.

Dalam menyampaikan kebenaran ini, mereka perlu menggunakan kaedah yang paling berhikmah.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90