Gaji Minimum Bermula Tahun 2013

Syarikat-syarikat multinasional (MNC) sudah bersedia untuk melaksanakan pembayaran gaji minimum sebanyak AS$300 (RM900) sebulan kepada pekerja-pekerja Malaysia mulai awal tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun ada rungutan pada awalnya namun mereka akur dengan keputusan kerajaan.

Lagipun, keputusan itu tidak membabitkan para pekerja asing di negara ini, menurut beliau.

“Kami sudah menjelaskan perkara ini secara terperinci bahawa Malaysia bukan lagi sebuah negara berorientasikan buruh, sebaliknya menawarkan kemahiran dan pengetahuan tinggi kepada pelabur asing," katanya dalam taklimat dengan para peneraju syarikat Malaysia yang beroperasi di sini.

Jelas beliau, kerajaan mempertahankan keputusan itu kerana langkah itu selari dengan matlamat negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi dengan peningkatan pendapatan perkapita kepada AS$15,000 (RM45,000) menjelang tahun 2020.

Menurut kajian di lima sektor utama negara ini, gaji pokok purata pekerja adalah RM626.76 sebulan, manakala, gaji kasar purata termasuk elaun-elaun tetap adalah RM762.20 sebulan.

“Jika dibandingkan Malaysia dengan Korea Selatan, kita sudah jauh ketinggalan walaupun 40 tahun lalu negara itu lebih mundur.

“Keputusan gaji minimum ini menunjukkan kerajaan serius untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan menjadi negara maju," jelas beliau.

Terdahulu ketika memberi taklimat dengan syarikat-syarikat India, Mustapa menjelaskan perlindungan yang diberikan kepada kerajaan kepada bumiputera tidak seharusnya dijadikan isu untuk melabur di Malaysia.

Sebaliknya, katanya, pelabur asing digalakkan untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat bumiputera.

“Dasar (perlindungan kepada bumiputera) masih diperlukan tetapi kerajaan telah mengubah kaedahnya berdasarkan merit dan kompetitif.

“Jadi, pelabur asing sewajarnya menjadikan syarikat-syarikat bumiputera sebagai rakan kongsi," ujar beliau.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya berharap MNC dan majikan swasta dapat memahami kriteria pemberian gaji minimum kepada kakitangan masing-masing.

Beliau berkat, segala bentuk elaun mahu pun imbuhan-imbuhan lain perlu diasingkan daripada gaji pokok kakitangan.

“Gaji pokok RM900 ini dijangka memberi impak yang baik dalam konteks yang lebih besar termasuk menjana pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika dihubungi.

Katanya, perkara itu amat penting bagi pekerja untuk menyimpan, selain mewujudkan satu sistem pendapatan yang lebih terjamin kepada semua masyarakat.

- UTUSAN

Next Post Previous Post
2 Comments
  • ismar bin mat salleh
    ismar bin mat salleh Selasa, 18 Disember 2012 pada 9:30:00 PTG SGT

    kurang jelas mengenai tangga gaji minimum RM900 yang akn diperkenalkan pada awal tahun 2013. adakah tangga gaji tersebut termasuk elaun-elaun tetap atau sebalikny

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 8 Januari 2013 pada 8:37:00 PTG SGT

    apakah pekerja tempatan shaja gaji 900,atau pekerja asing pun ikut naik

Add Comment
comment url