Pelabur harus mengetahui perniagaan diceburi
Menurut beliau, simpanan merupakan perkara penting bagi tujuan membeli rumah, menabung untuk pendidikan kanak-kanak, untuk kegunaan semasa kecemasan atau perancangan persaraan.
"Memang kita perlu memanjakan diri sendiri selepas berhempas pulas bekerja sepanjang tahun, namun seseorang itu perlu beringat semasa berbelanja bagi memastikan kewangan mereka sentiasa stabil sepanjang hayat.
"Semasa individu masih muda, mereka harus sentiasa bijak berbelanja dan mengumpul kekayaan dalam bentuk deposit," katanya.
Chen Woon menasihatkan orang muda untuk membeli rumah pada permulaan kerjaya terutama kediaman bertanah kerana nilainya akan meningkat dari semasa ke semasa dan bukannya menghabiskan wang untuk membeli kereta.
Katanya, anggapan bahawa pelaburan kereta adalah keperluan merupakan satu pendapat yang salah kerana ia tidak boleh dianggap sebagai aset ekoran nilainya yang menyusut.
Menyentuh mengenai bentuk pelaburan ideal, Chen Woon berpendapat bahawa campuran bon dan ekuiti adalah seimbang dari segi risiko dan pulangan.
Strategi tersebut disasarkan kepada individu bekerja yang tidak mempunyai masa untuk memantau pelaburan mereka.
Beliau turut menasihatkan pelabur supaya selalu mempersoalkan sifat asas bagaimana pulangan tinggi diperolehi.
Katanya, pelaburan yang memberi pulangan terlalu tinggi secara luar biasa seperti yang ditawarkan oleh 'Skim Cepat Kaya' bermakna risiko yang dihadapi juga adalah tinggi dan ia tidak dijamin.
Tambah beliau, pelabur perlu membina pelbagai portfolio dengan gabungan pelaburan yang betul, sesuai dengan keperluan pelaburan atau simpanan individu dan yang paling penting mengetahui asas-asas pelaburan.
"Jangan sekali-kali melabur dalam perniagaan yang anda tidak faham.
"Memahami sifat pelaburan dan berpegang kepada hanya apa yang anda tahu adalah langkah pertama untuk melabur secara betul dan pelabur perlu mengambil kira risiko dan menilai pelaburan sekurang-kurangnya setiap tiga bulan," katanya.
Menurut Chen Woon, terdapat banyak faktor penting yang perlu dipertimbangkan sebelum melabur terutama faktor jangka panjang seperti dasar fiskal dan kewangan, politik dan trend ekonomi.
Seseorang pelabur katanya, perlu memahami kedudukan kewangan negara, selain melihat data asas seperti pasaran kerja, kadar pengangguran, kenaikan gaji dan kos sara hidup.
"Berinteraksi dengan orang ramai dari pelbagai industri seperti peniaga, pemandu teksi, peruncit dan rakan-rakan juga boleh membantu dalam menentukan sentimen pasaran secara keseluruhan.
"Walau apa pun, sekali lagi saya ulangi, lebih banyak berjimat dan kurangkan berbelanja.
"Jangan biarkan keuntungan yang cepat dan pulangan yang tinggi menutupi mata anda, sentiasa melengkapkan diri anda dengan fakta dan pengetahuan. Dengan ini, anda akan pasti bahawa anda melakukan perkara yang betul dengan wang yang anda miliki," tegasnya.
- UTUSAN