Sektor hartanah kukuh 20 tahun
Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama PropertyGuru, Steve Melhuish berkata, ekonomi Malaysia yang mengukuh serta pelbagai inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut memberi impak positif yang signifikan.
"Ini merupakan pemacu utama kepada pengukuhan sektor hartanah Malaysia dalam tempoh jangka panjang, lebih ramai rakyat Malaysia yang akan membeli hartanah seiring dengan peningkatan gaya hidup dan sebagai pelaburan masa depan.
"Sejak beberapa tahun lalu, sektor hartanah Malaysia melalui fasa yang baik walaupun terpaksa mengharungi ketidaktentuan ekonomi global, ia hanya mencatat pertumbuhan mendatar dan ia sudah mencukupi di dalam situasi seperti ini," katanya Utusan Malaysia di sini.
Katanya, bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang akan terus mendapat perhatian pembeli dan pelabur kerana lokasinya yang strategik.
Tambah beliau, permintaan terhadap hartanah seperti kondominium dan ruang pejabat akan kekal tinggi di Kuala Lumpur manakala Pulau Pinang lebih diminati oleh golongan pesara.
Pembangunan bandar baharu seperti Iskandar Malaysia yang terletak di Johor Bharu katanya, amat diminati oleh rakyat Singapura dan ekspatriat yang bekerja di republik tersebut kerana faktor lokasi yang berhampiran.
Malah harga rumah yang tinggi di negara tersebut memberi kelebihan kepada Malaysia.
" Penduduk Singapura amat berminat dengan projek-projek di Iskandar Malaysia kerana mereka dapat memiliki rumah yang lebih luas pada harga yang kompetitif.
"Kecenderungan mereka adalah kediaman bertanah berbanding strata kerana ia lebih selesa dan berbeza dengan apa yang ditawarkan di Singapura, " ujar beliau.
Bagaimanapun, Melhuish realistik dengan unjuran pertumbuhan sektor hartanah jangka pendek tempatan, terutama pada suku pertama tahun depan yang terpaksa menerima kesan daripada kesuraman persekitaran ekonomi global.
Beliau meramalkan sektor hartanah tempatan mengalami kelembapan yang menyebabkan kadar sewaan kondominium serta pembukaan ruang pejabat baharu merosot.
Namun begitu, situasi tersebut katanya, adalah bersifat sementara dan dijangka pulih semula seiring dengan pemulihan ekonomi global.
- UTUSAN