Terapi melalui doa

Berdoa
Doa merupakan terapi perubatan yang sangat mujarab dan berkesan. Doa adalah medium komunikasi kita dengan Allah.

Semasa berdoa, kita sebenarnya sedang bercakap dan mengadu kepada Allah. Siapa lebih layak untuk kita mengadu selain Allah? Hanya Allah sahajalah sebaik-baik pendengar.

Dengan berdoa, hati dan jiwa kita akan lebih tenang. Seperti mana yang kita sedia maklum, ketenangan amat penting dalam proses penyembuhan kanser.

Ingat, kita berdoa, Allah pasti makbulkan, dengan syarat kita berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan dan bukan kerana arahan atau suruhan sesiapa.

Berdoa daripada hati dan jiwa yang ikhlas, pintalah, Allah Maha mendengar. Sabda Nabi SAW ;

"Hai manusia, tenangkanlah diri kamu, sesungguhnya kalian bukanlah berdoa kepada yang tuli dan tidak pula kepada yang ghaib, sesungguhnya kamu sedang berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Dia selalu bersama kamu.."

(Riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Musa r.a.)

Berdoalah kepada Allah. Tidak semestinya doa di dalam bahasa Arab. Berdoalah dalam apa jua bahasa. Berdoalah dari hati dan lisan, serta tangan yang menadah mengharapkan perkenan dari Allah. Dalam sebuah hadis sahih nabi SAW bersabda.

"Sesungguhnya tuhan kalian itu adalah Dzat Yang Maha Pemalu dan Maha Pemurah, Dia merasa malu terhadap hamba-Nya yang menadahkan tangannya kepada-Nya kemudian Dia mengembalikannya dengan hampa"

(Hadis riwayat Ibnu Majjah)

Yakinlah kepada Allah, berdoalah kepada-Nya kerana kuasa mutlak penyembuh ada pada Allah.

Jika kita berusaha berubat ke seluruh dunia pun, tanpa doa daripada kita dan perkenan-Nya, maka penyakit tetap tidak akan sembuh.

Kerana itu, dalam rawatan kanser menggunakan ayat Al-Quran, doa adalah 'ubat' terpenting selepas bacaan rangkaian ayat syifa' kanser daripada Al-Quran.

l Solat Tahajud

Kajian menunjukkan, solat tahajud yang diamalkan secara konsisten, berupaya meningkatkan sistem pertahanan diri (imuniti) di mana kualiti oksigen yang sangat segar di waktu awal pagi yang dihirup khusus untuk hamba-Nya yang bangun untuk solat tahajud.

Amalan ini amat digalakkan untuk dilakukan oleh pesakit di samping mengamalkan ayat Quran yang telah diberikan.

Solat tahajud mampu membina sistem pertahanan tubuh daripada penyakit terus merebak dan pada masa sama, hati pesakit akan lebih tenang dan lebih positif terhadap ujian kanser tersebut.

Solat tahajud dilakukan waktu malam selepas pesakit tidur seketika. Aktiviti bangun malam dan membasahkan diri dengan wuduk, memberi kesan amat positif kepada kesihatan seseorang secara umum dan kepada pesakit itu sendiri secara khususnya.

Sememangnya, solat pada waktu malam dan awal pagi dalam waktu dan persekitaran tenang akan membawa jiwa hampir kepada Allah.

Bacaan pula akan lebih khusyuk dan hati kita hadir dengan setiap bacaan tersebut. Firman Allah ;

"Sesungguhnya bangun waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan waktu itu lebih berkesan.." (Al Muzammil, 6)

l Solat Taubat

Solat taubat dapat membersihkan jiwa dan rohani seseorang. Apabila kita bertaubat kepada Allah dan memohon kepada Allah dengan seikhlas hati dan penuh tawaduk dan rendah diri, insya-Allah taubat kita akan diterima.

Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Maka bertaubatlah kepadanya, agar diri dan jiwa kita dibersihkan, lalu penyakit kita disembuhkan dengan doa dan amalan yang berterusan.

Amat penting untuk kita solat taubat memohon ampun kepada Allah kerana, musibah yang menimpa kita adalah sebagai kafarah dosa kita terdahulu. Justeru, pintalah keampunan kepada Allah dan segeralah melakukannya. Firman Allah;

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.."

(An Nasr, 3)

Maka, segeralah bertaubat, ingatlah, dosa-dosa kita ialah penghalang kepada doa-doa kita.

Dengan melakukan amalan ini, di samping mendapat keampunan Allah, dengan izin Allah doa kita akan dimakbulkan, serta Allah akan mendengar rintihan penyakit kita agar disembuhkan insya-Allah.

Amat penting untuk kita sedari bahawa penyakit datang daripada Allah dan penawar juga di sisi Allah, pintalah keampunani-Nya dan sujudlah!

Berdoa kepada Allah agar kanser kita disembuhkan dengan izin-Nya. Pesakit dinasihati agar melakukan solat taubat sebanyak termampu, lebih baik jika dapat diamalkan setiap malam.

Pada sujud yang terakhir, pesakit berdoalah kepada Allah di dalam hati, agar diampunkan segala dosa dan diangkat segala penyakit yang menimpa.

Percayalah, telah ramai pesakit saya yang melakukan amalan ini dan merasakan sendiri hasilnya.

Tidak perlu kita ragu kepada kuasa Allah kerana kuasa kesembuhan hak mutlak Allah, kita merancang dan berusaha, seterusnya kita pulangkan tawakal kepada-Nya. Insya-Allah pesakit akan merasai hasilnya.

"Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Adalah Rasulullah SAW membaca ketika sujud :

"Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku, baik yang kecil maupun yang, besar yang mula-mula dan yang penghabisan, yang terang-terangan dan yang tersembunyi."

(Hadis sahih riwayat Muslim)

l Solat Hajat

Solat ini dilakukan selepas solat taubat. Setelah menyesal dan mengakui segala dosa kita, maka selepas itulah kita pohon dan pinta kepada Allah agar disembuhkan sakit yang menimpa diri.

Sebaik-baik cara memohon, adalah bersolat hajat dan sebaik-baik masa memohon di dalam solat hajat adalah semasa sujud.

Pintalah kepada Allah dengan penuh keyakinan, Allah pasti akan kabulkan.

l Zikir tahlil (La Ila ha Illa Allah)

Kalimah mulia ini bermaksud tiada tuhan yang disembah selain Allah. Tiap kali berzikir tahlil ini, hati kita mengingati Allah dan menafikan tuhan yang lain, selain daripada Allah.

Kadangkala, musibah yang menimpa kita adalah sebagai cemeti, untuk memukul kita supaya kembali pulang kepada Allah.

Kerana itulah saya menekankan amalan zikir ini agar pesakit kembali menghampirkan diri dengan Allah seterusnya memohon agar penyakit itu disembuhkan.

Pesakit digalakkan berzikir sepanjang masa. Sebaik-baik zikir adalah didalam hati. Kajian sains turut mendapati dengan berzikir tahlil ini, perjalanan darah akan lebih lancar di dalam tubuh.

Jadikanlah hati kita ini sentiasa berzikir mengingati tuhan. Amalan itu akan membuatkan jiwa kita menjadi tenang. Ketenangan merupakan nilai paling berharga untuk seseorang pesakit kanser.

Kanser mampu pasif di dalam tubuh andai pesakit itu tenang, sebaliknya, kanser yang telah pasif mampu kembali aktif seandainya pesakit stres dan berada dalam tekanan emosi dan fikiran.

Jadi, sebagai seorang Islam, terapi paling baik untuk menjadikan hati kita tenang adalah dengan berzikir mengingati Allah setiap masa.

"Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah (zikirullah). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.." (Ar Ra'ad, 28)

Dalam kaedah rawatan perubatan Al Hidayah, pesakit sendiri perlu membaca rangkaian ayat-ayat suci Al-Quran dan bukannya perawat.

Perawat hanya berperanan memeriksa pesakit dan memberikan rangkaian ayat-ayat yang perlu dibaca oleh pesakit, seterusnya pesakit sendiri yang perlu berusaha membacanya.

Kaedah ini tampak berbeza dengan kaedah rawatan alternatif lain di mana perawat yang membacakan ayat-ayat Ruqyah kepada pesakit dan pesakit hanya meminum air jampi atau tidak perlu berusaha sendiri.

Menerusi kaedah perubatan Al Hidayah ini, pesakit perlu berusaha membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang diberikan dan memohon kesembuhan daripada Allah sendiri.

Seperkara lagi, jika kita membaca terjemahan ayat-ayat Al-Quran yang diberikan kepada pesakit, terjemahannya memang tidak ada kena-mengena dengan sakit yang sedang dihidapi atau berkaitan dengan mana-mana proses penyembuhan.

Akal fikiran kita tidak mampu untuk mengkaji secara ilmiah hubungan antara ayat-ayat ini dengan jenis-jenis kanser yang dihidapi.

Namun, inilah mukjizat Al-Quran. Hanya Allah yang tahu hikmahnya. Apa yang pasti, ramai pesakit yang mengamalkan ayat ini telah menemui jalan keluar dari belenggu kanser dengan izin Allah, ada di antara mereka yang telah sembuh dan ada juga yang sedang meniti jalan kesembuhan, berkat Al-Quran dan dengan Izin Allah.

Proses rawatan ini adalah sangat kritikal dan kerana itu saya galakkan pesakit berjumpa saya empat atau enam minggu sekali untuk meneruskan terapi agar dapat saya berikan ayat-ayat yang baru untuk dibaca dan diamalkan pesakit.

Keterangan lanjut mengenai perubatan ini boleh didapati daripada buku berjudul "Quranic Medicine in Healing Cancer" yang insya-Allah akan dipasarkan pada Januari 2013.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url