Waspada terima dan sebar maklumat

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Dunia masa kini menyaksikan maklumat terlalu pantas bergerak. Setiap detik kita menerima maklumat baharu dan menghantar maklumat tersebut kepada pihak lain. Proses menerima dan menghantar maklumat ini banyak terkesan akibat penggunaan Internet yang semakin rancak hari demi hari. Lantaran itu, akses kepada maklumat di seluruh dunia semakin mudah dan masyarakat mula berfikiran luas dan lebih berinformasi.

Namun, di sebalik kelebihan dan manfaat ini, kita perlu berwaspada dalam menerima maklumat yang disebarkan. Terdapat di kalangan kita yang terus mempercayai sesuatu maklumat tanpa usul periksa. Mudarat akan menjadi lebih besar sekiranya kita pula yang bertindak untuk menyebarkan maklumat tersebut tanpa mengetahui kesahihannya terlebih dahulu.

Islam mendidik kita disiplin dalam menerima sesuatu maklumat. Kita diajar untuk berhati-hati dengan menyelidik dan mengkaji terlebih dahulu maklumat tersebut. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujuraat: 6)

Para ulama terdahulu begitu teliti dalam meriwayatkan sesuatu maklumat terutamanya sekiranya maklumat tersebut dikaitkan dengan hadis Rasulullah SAW. Mereka akan memastikan jalan periwayatannya (sanad) tidak terputus dan diambil daripada perawi-perawi yang diiktiraf akan kebenarannya.

Maka, sekiranya kita amati ilmu periwayatan hadis, terdapat beberapa ilmu yang melengkapinya iaitu ilmu jarh wa ta’dil yang membahaskan mengenai sifat-sifat perawi yang menyebabkan hadis yang diriwayatkan itu diterima atau ditolak. Demikian juga ilmu Tarikh Ar-Ruwah iaitu ilmu sejarah para rawi dan sebagainya. Semua disiplin ilmu ini adalah untuk memastikan hadis yang diriwayatkan adalah tulen dan benar-benar datang daripada Baginda SAW.

Di zaman yang terlalu banyak fitnah yang merosakkan ini, sikap berwaspada dengan maklumat yang diterima sangat penting. Jangan cepat untuk percaya dengan apa sahaja yang sampai ke telinga kita melainkan mesti disusuli dengan usaha untuk memastikan ketulenannya. Maklumat yang menerobos masuk ke dalam minda kita melalui saluran-saluran masa kini banyak terdedah kepada penyelewengan dan pemesongan.

Nabi SAW bersabda: Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (riwayat Muslim).

Tidak dapat kita nafikan bahawa bukan semua maklumat yang diperoleh dapat dikaji akan kesahihannya. Kadang-kadang kita dibelenggu dengan kekangan masa, kemahiran dan birokrasi untuk mendapatkan maklumat yang betul. Cara yang paling mudah ialah kita merujuk kepada badan-badan berautoriti yang diiktiraf oleh kerajaan.

Sebagai contoh, sekiranya kita menerima maklumat tentang status kehalalan sesuatu pasar raya, makanan dan sebagainya, maka badan yang paling sesuai untuk kita rujuk ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Sekiranya maklumat yang kita peroleh itu berkaitan dengan status patuh syariah sesuatu syarikat, maka badan yang boleh diberikan kepercayaan untuk dirujuk ialah Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara Malaysia.

- UTUSAN


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url