Caj tambahan 10 peratus tiket bas raya
Kelulusan itu berkuat kuasa bagi semua perjalanan bas ekspres dan bas tambahan, mulai 8 Julai sehingga 8 September ini.
Pengurus Bahagian Komunikasi SPAD, Noor Hisham Mohd Taha, berkata langkah itu dapat membantu menampung kos operasi syarikat pengendali bas yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berikutan permintaan tinggi daripada pengguna ketika musim perayaan.
Ini adalah inisiatif SPAD mengurangkan beban pengusaha bas sementara menunggu keputusan mengenai cadangan menaikkan tambang bas ekspres sehingga 30 peratus, katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Beliau mengulas tindakan sebahagian pengusaha bas yang enggan menjual tiket bagi musim perayaan akan datang berikutan menunggu keputusan SPAD mengenai cadangan menaikkan tambang bas ekspres itu.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata permintaan itu sukar ditunaikan sebelum musim perayaan kerana proses perundingan dan kajian komprehensif mengenai perkara itu masih dijalankan dan ia hanya akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.
Tetap pertahan
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Asfar Ali, ketika dihubungi berkata pihaknya terkejut dengan keputusan SPAD membenarkan caj tambahan hanya 10 peratus dikenakan ke atas penumpang.
Katanya, pihak persatuan akan tetap mempertahankan cadangan menaikkan tambang bas ekspres secepat mungkin.
Saya terkejut kerana keputusan menaikkan caj tambahan 10 peratus ini dibuat tanpa berbincang dengan kami dan caj tambahan ini hanyalah perkara biasa setiap kali menjelang perayaan.
Ia masih tidak menyelesaikan masalah peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung pengusaha bas seperti tol, insurans, sewa premis, minyak pelincir, tayar dan gaji baru bekerja, katanya.
- BERITA HARIAN