Belajar Jadi Pengguna Bijak Untuk Menghadapi Kenaikan Kos - Pakar Ekonomi
"Anggap ia sebagai perubahan positif. Mengajar keluarga kita supaya lebih berjimat dalam berbelanja dan mendisiplinkan diri bukanlah satu perkara yang tidak baik," kata perunding kewangan yang diiktiraf dan pengasas Abacus Advisory Sdn Bhd, Carol Yip.
Beliau berkata keluarga perlu berbincang tentang cara-cara yang membolehkan mereka mengurangkan kos.
"Sekarang adalah masa terbaik untuk menukar tabiat kita dan menghentikan pembaziran. Kita perlu lebih sedar tentang bagaimana kita menggunakan air, elektrik dan penghawa dingin," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata individu perlu terlebih dahulu merangka bajet harian tentang berapa banyak yang mereka belanjakan.
"Kaji perbelanjaan anda dan lihat di mana anda boleh mengurangkannya. Jika anda makan di luar setiap hari, lihat jika ada cara untuk makan di rumah lebih kerap," tambahnya.
Pengguna, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana telah menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan tarif elektrik dan kadar taksiran dan juga kenaikan harga perkhidmatan dan barangan.
Setiausaha Agung Fomca Datuk Paul Selvaraj berkata rakyat Malaysia mesti belajar menjadi "pengguna lebih bijak" dengan mencari nilai terbaik untuk wang mereka.
"Sama ada barangan harian kecil atau dalam mendapatkan pinjaman kereta atau perumahan terbaik, pengguna perlu melakukan kajian mereka untuk mencari tawaran terbaik," kata beliau ketika dihubungi.
"Keutamaan penjual dan pembeli tidak mungkin sama. Walaupun pembeli mahu mengurangkan kos, penjual akan mencari jalan untuk mendapatkan keuntungan yang paling tinggi atau komisen," katanya.
Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Fomca mendapati 47 peratus daripada 1,000 eksekutif muda di kawasan bandar berkata mereka berbelanja di luar kemampuan mereka.
"Ini adalah masa yang sukar dan perkara hanya akan menjadi lebih sukar, jadi kita perlu memperoleh kemahiran dan pengetahuan untuk menjadi pengguna yang lebih bijak.
"Sama ada mengurangkan penggunaan tenaga, mencari jalan untuk berkongsi kereta atau menggunakan lebih banyak pengangkutan awam, perubahan perlu dibuat sama ada kita suka atau tidak," katanya.
- mSTAR