Perisian komputer kepada peniaga berdaftar untuk pantau GST
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata sistem itu yang dikenali sebagai MyGST sedang diuji untuk kelancaran dan kestabilan sebelum diedarkan kepada kira-kira 300,000 peniaga berdaftar di seluruh negara.
"Sistem baharu itu yang akan mengurustadbir sistem percukaian GST, dibina dengan kos kira-kira RM100 juta.
"Jumlah pelesen (peniaga) ini satu bilangan yang besar, jadi kita kena pastikan sistem yang ada, mampu untuk mendaftar peniaga yang begitu ramai di dalam mengendalikan urusan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di Taman Perumahan Kastam Pengkalan Kubor di sini, hari ini.
Khazali berkata, kerajaan juga menyediakan subsidi kepada peniaga berdaftar untuk mendapatkan sistem komputer berkenaan, bagaimanapun jumlahnya masih belum diputuskan.
"Sistem MyGST itu ditadbir urus oleh Kastam, cuma pelesen-pelesen, kerajaan akan beri subsidi untuk beli perisian perakaunan, yang sesuai dengan sistem GST itu dan latihan akan diberi kepada mereka.
"Jumlah untuk subsidi belum diterima, tapi peruntukan untuk subsidi telah diumum oleh kerajaan pada bajet tahun lepas. Harga perisian tersebut juga belum ditetapkan lagi," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lalu berkata, cukai tunggal GST pada kadar 6 peratus akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus. GST akan dikuatkuasakan pada 1 April, 2015.
Dalam perkembangan lain, Khazali berkata, jabatan itu berjaya mengutip hasil sebanyak RM33.1 bilion tahun lalu, meningkat 2.38 peratus berbanding 2012.
Selain itu, Kastam berjaya merampas dadah seberat 1.6 tan bernilai RM114 juta pada tahun lepas di pelbagai tempat yang dikawal selia oleh jabatan terbabit.
Mengulas mengenai letupan mercun di Stor Penguatkuasaan Kastam di Pengkalan Kubor pada bulan lepas, Khazali berkata pihaknya telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan perkara itu disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
"Tidak ada pelanggaran syarat dilakukan anggota kita. Kita telah merendam mercun yang akan dilupuskan itu dalam air selama sebulan. Bila nak angkat dan musnahkan di mesin pemusnah, tiba-tiba ia meletup. Itu adalah di luar kemampuan kita," katanya.
- BERNAMA