AiSukaBazaar - Platform peniaga online

Trend membeli-belah di bazar yang mempamerkan variasi barangan jualan semakin popular dalam kalangan warga tempatan masa kini.

Ia juga membuka peluang kepada orang ramai untuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Terdapat pelbagai pusat jualan berkonsepkan bazar lahir untuk memberi pilihan yang lebih baik kepada para pengunjung. Barangan jualan di bazar lazimnya merangkumi pakaian, kasut, aksesori dan makanan.

Menyedari trend pembelian dan perniagaan di bazar semakin menjadi sebutan orang ramai, pemegang jenama perniagaan bazar, AiSukaBazaar mengambil inisiatif mengadakan platform untuk peniaga online berniaga di bazar pada kadar sewa RM25 sehari.

Menurut pemiliknya, Mohd. Nazim Badruddin rangkaian laman sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi medium terkini untuk peniaga online menjalankan perniagaan dengan modal rendah.

“Ramai peniaga memilih untuk memasarkan produk masing-masing melalui laman sosial kerana tidak mahu dibebani modal yang besar. Misalnya, kos sewa dan bayaran deposit untuk mendapatkan kedai.

“Peniaga bimbang sewa mahal tetapi lokasi kedai tidak strategik untuk menarik pelanggan. Inilah antara kekangan utama kepada anak muda untuk berkecimpung dalam perniagaan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nazim memberitahu, lokasi AiSukaBazaar merupakan pilihan tepat kepada peniaga online untuk meluaskan lagi perniagaan dengan tidak dibebani kos sewaan tinggi.

AiSukaBazaar memilih Tierra Crest, Kelana Jaya, Selangor yang turut menempatkan Universiti Antarabangsa Unitar sebagai lokasi jualan bazar setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 4 April ini.

“Saya yakin kadar sewa RM25 cukup berbaloi kepada peniaga kerana setiap tapak bazar diletakkan di dalam ruang yang mempunyai pendingin hawa. Jadi, pembeli dan peniaga selesa untuk berurusan.

“Kebiasaannya, harga tapak dalam tempat seperti ini mencecah RM150 sehari, malah ada sesetengah pengurus acara meletakkan harga RM250 sehari,” ujarnya.

AiSukaBazaar menyasarkan 100 peniaga online untuk berkampung di situ selama sebulan sebagai permulaan.

Katanya, tidak semua orang percaya dengan pembelian secara online kerana ada yang lebih suka membeli di kedai kerana boleh melihat dan memegang barangan yang ingin dibeli. Jualan di bazar memberikan kelebihan kepada peniaga kerana pasaran luar talian lebih terbuka dan mempunyai pengikut tersendiri.

Dalam pada itu, tambah Nazim, idea menubuhkan AiSukaBazaar dengan kadar sewa murah adalah berdasarkan pengalamannya yang aktif mengikuti jualan bazar sekitar Lembah Klang.

“Sebelum berjinak-jinak dalam pengurusan tapak, saya merupakan peniaga yang selalu mengikuti bazar jualan pada hujung minggu.

“Mengalami sendiri betapa susahnya mendapat keuntungan sebanyak RM150 sehari untuk digunakan bagi membayar sewa dan gaji. Ia membuatkan saya terfikir mahu membantu peniaga lain supaya mereka mendapat untung,” katanya.

Berdasarkan pengalaman, Nazim yang dikenali sebagai Gigs dalam kalangan vendor bazar pernah membuka tapak niaga AiSukaBazar bagi jualan bonet kereta dengan sewa RM10 sehari. Ia telah mendapat sambutan memberangsangkan.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai AiSukaBazaar boleh melayari laman sosial, www.facebook.com/AiSukaBazaar, akaun Instagram @AiSuka_Bazaar atau talian 0111-888 8935.

Sumber : Kosmo!


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url