Debat Calon Presiden Amerika Pusingan Kedua - 10 Oktober 2016
Kempen Hillary Clinton dan Donald Trump untuk menjadi presiden Amerika Syarikat ke-45 semakin hangat dan diteruskan dengan debat presiden pusingan kedua pada 10 Oktober 2016.
Bagi kem Demokrat, mereka mahu Clinton meneruskan persembahan baik yang ditunjukkan dalam debat pusingan pertama.
Trump pula berhadapan tugas mencabar selepas kontroversi terbaharu yang mendedahkan videonya pada tahun 2005 yang menggunakan kata-kata lucah dalam menceritakan tindakan seksualnya ke atas wanita.
Namun bagaimana debat ini berbeza dengan pusingan pertama yang berlangsung 29 September lalu?
1- Format town hall lebih terbuka
Format ini membolehkan orang awam mengemukakan soalan kepada calon sama ada melalui wakil di pentas mahupun di laman sosial seperti Facebook atau agensi tinjauan seperti Gallup.
Calon juga bebas bergerak di pentas ketika berdebat dan tidak perlu berdiri statik di belakang rostrum. Ruang ini menjadikan calon lebih terdedah dan bahasa badan mereka lebih mudah dibaca.
Clinton tampak lebih berkarisma di pentas terbuka dan duduk di kerusi yang disediakan dengan tenang apabila tiba giliran Trump berucap.
Trump sebaliknya lebih banyak mundar-mandir di sekitar pentas ketika Clinton berucap bahkan beberapa kali berdiri dan seolah-olah mengintai di belakang pihak lawannya.
2- Trump lebih tenang
Pusingan kedua menampilkan Donald yang lebih tenang dan berdisiplin. Tiada lagi amukan rambang dan kekerapan mencelah yang melampau.
Malang bagi kem Demokrat, Clinton seperti terikut-ikut dengan rentak tersebut dan tidak tampil agresif untuk menyerang kempen Trump yang semakin lemah selepas dikritik hebat pemimpin parti sendiri seperti John McCain, Mitch McConnell, dan Paul Ryan.
3- Lebih banyak serangan peribadi
Apabila Trump dan Clinton memecah tradisi debat presiden dengan tidak bersalaman sebelum mula berdebat, para penonton sudah dapat menjangka bahawa debat kali ini lebih bersifat peribadi.
“Selepas debat pertama, kita lihat dia (Trump) menghina bekas Miss Universe dengan kata-kata dahsyat selama seminggu. Jadi benarlah ini Donald Trump yang sebenar,” jawab Clinton ketika ditanya mengenai cara Trump melayan wanita.
Malah, serangan Clinton masih membara sehingga ke hujung debat apabila salah seorang penonton meminta calon menyatakan ciri positif yang disukai pada pihak lawan.
Clinton tidak memuji Trump, sebaliknya menzahirkan rasa hormatnya kepada anak-anak Trump yang berjaya dan ‘ini membuktikan sesuatu tentang Trump’.
Trump tidak ketinggalan menyentuh isu peribadi dengan membangkitkan semula tuduhan serangan seksual ke atas suami calon Demokrat yang juga bekas Presiden, Bill Clinton.
Malah, Trump turut membawa bersama empat orang wanita yang mendakwa pernah dirogol atau dicabul oleh Clinton untuk duduk bersama-sama dengan keluarga dan penyokong Trump di hadapan pentas.
4- Moderator lebih tegas, berkesan
Tindakan penganjur memilih Anderson Cooper dari CNN dan Martha Raddatz (ABC News) sememangnya tepat.
Berbanding Lester Holt yang nyata lemah dan tidak mampu mengawal calon dan penonton, kedua-dua moderator ini tegas dan cekap mengawal perdebatan.
Mereka tidak membiarkan mana-mana calon melebihi masa yang ditetapkan untuk menjawab soalan malah turut mendesak calon menjawab soalan dengan tepat jika jawapan yang diberi tersasar.
5- Polisi alam sekitar, DAISH diberi perhatian
Isu polisi tenaga dan alam sekitar yang tidak disentuh dalam debat pusingan pertama (dan debat naib presiden) akhirnya diberi perhatian.
Clinton jelas mahu membangunkan sektor tenaga alternatif, namun jawapan Trump untuk mengurangkan peraturan ketat berkenaan alam sekitar bagi membangunkan semula industri arang batu mampu membujuk pengundi terutamanya golongan pekerja dalam industri tersebut
Isu Syria turut diberi tumpuan. Clinton mengecam tindakan Russia di bawah telunjuk Putin yang membantu kerajaan Basyar al-Assad menyerang pemberontak namun mengorbankan orang awam, serta mahu kedua-dua pemimpin disiasat atau tuduhan jenayah perang.
Trump bagaimanapun mengingatkan penonton bahawa kerajaan Syria dengan bantuan Russia juga menyerang kubu DAISH yang juga merupakan musuh AS.
Debat presiden AS pusingan ketiga akan berlangsung pada 19 Oktober 2016.