Tiada Caj Pembaharuan Kad ATM - BNM
Bank Negara Malaysia (BNM) menyangkal laporan baru-baru ini yang mendakwa pemegang kad ATM dikenakan caj pembaharuan selain tidak boleh menggunakan kad sedia ada untuk pengeluaran tunai jika tidak digantikan dengan kad berasaskan PIN.
Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata orang ramai boleh menukar kad ATM secara percuma.
"Kad ATM di Malaysia yang juga merupakan kad debit, membolehkan pemegang membuat belian di terminal semasa jualan (POS).
"Mereka yang belum menukar kad masing-masing boleh terus menggunakannya untuk pengeluaran tunai di ATM," katanya.
Bagi penggunaan kad ATM sebagai kad debit untuk transaksi belian di terminal POS, bank dikehendaki memberikan notis yang mencukupi dan tempoh masa yang munasabah untuk penukaran kad sebelum menamatkan fungsi kad sedia ada.
BNM berkata bank-bank kini giat menggantikan kad pembayaran berasaskan tandatangan pelanggan kepada kad bersaskan PIN dan menyasarkan proses itu selesai menjelang 1 Januari, 2017.
Bermula 1 Julai, 2017, semua pembayaran transaksi kad menggunakan kad penbayaran keluaran tempatan di terminal POS di Malaysia hanya boleh dilakukan menggunakan PIN, dan pengesahan menggunakan tandatangan tidak lagi digunakan.
"Inisiatif memindahkan kad pembayaran berasaskan PIN bagi transaksi POS bertujuan meningkatkan keselamatan dan melindungi kepentingan pemegang kad.
"Untuk tujuan itu, orang ramai dinasihatkan segera menggantikan kad masing-masing," katanya.
- BERNAMA