Remaja Panjat IPOH Mohon Maaf
Sekumpulan remaja yang memanjat papan tanda `IPOH’ baru-baru ini tampil memohon maaf di atas tindakan mereka.
Menurut salah seorang remaja tersebut, Norfarihan Baharudin, 24, mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada semua.
"Kami ingin tampil memohon maaf lebih awal sebaik mengetahui gambar dan video mereka tersebar luas, namun tidak berpeluang berbuat demikian apabila dikecam hebat oleh netizen.
“Saya mahu beritahu di sini saya dan rakan-rakan yang lain mahu meminta maaf kepada masyarakat, memang kami tahu perbuatan ini salah,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya di Bangunan Perak Darul Ridzuan petang Rabu.
Norfarihan ditemani empat rakannya iaitu Azlina Azmin, 21; Nor Farina Baharudin, 22 serta Muhammad Zaki Nasarruddin dan Muhammad Faiz Roslee, yang masing-masing berusia 23 tahun.
Menurut Nurfarihan, dia dan rakan-rakannya berpengalaman dalam melakukan aktiviti lasak termasuk melakukan tugas lagak ngeri secara sambilan bagi penggambaran filem malah sering kali mendaki bukit dan gunung kebanyakan di luar negara seperti Thailand dan Vietnam.
“Kami ada latar belakang masing-masing, jadi ketika naik kami sebenarnya sudah memikirkan soal keselamatan cuma tidak menyangka perkara begini (viral dan dikecam) akan berlaku. Kami memilih mercu tanda IPOH itu kerana keunikannya,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya gambar dan video tindakan itu mula tersebar apabila ada pihak yang menemubual mereka kemudian dimuatnaik dalam laman blog The Vocket.
Sementara itu, Shahrul Zaman berharap kumpulan ini dapat menggunakan kebolehan dan pengalaman mereka dengan jalan yang betul.
"Mereka boleh membentuk kelab seperti Pendaki Belia Perak yang dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut.
"Ini boleh dilakukan secara positif mengikut undang-undang masing-masing di samping memastikan keselamatan mereka sendiri," katanya.
- mstar