Aplikasi Mudah Alih Semak BR1M Diperkenal



Lebih 8.2 juta pemohon Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) boleh menyemak status permohonan melalui 'Aplikasi Mudah Alih Semakan BR1M' yang diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, aplikasi itu merupakan alternatif terbaik bagi membanteras penyebaran maklumat palsu berkaitan BR1M yang boleh mengelirukan pemohon.

Bercakap kepada pemberita di majlis pelancaran aplikasi itu, beliau berkata, jumlah pemohon BR1M meningkat lebih 15 peratus setakat 14 Februari berbanding 7.1 juta permohonan pada 2016.

"Pemohon yang berstatus bujang mencatatkan jumlah paling tinggi memohon BR1M kerana mereka yang baru masuk kerja dan bergaji sehingga RM3,000 pun layak," jelasnya.

Johari berkata, pembayaran BR1M secara baucar telah bermula pada 18 Februari dan akan dikreditkan ke akaun penerima mulai Rabu.

Pada 17 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih lima juta permohonan BR1M 2017 telah diluluskan kerajaan.

Selebihnya masih lagi dalam peringkat pemprosesan dan keputusan dijangka diumumkan bulan depan, katanya.

Aplikasi Mudah Alih Semakan BR1M boleh dimuat turun ke telefon bimbit android.

Aplikasi itu membolehkan pemohon membuat semakan penghantaran borang, status bayaran dan rayuan dengan cepat.

Ia hanya memerlukan nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi pemohon.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url