Kad Pengenalan 'Bangsa Johor' Tak Wujud
Kerajaan Johor menafikan pihaknya mengeluarkan kad pengenalan 'Bangsa Johor' selepas gambar mengenai dokumen itu tersebar di media sosial.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani berkata, sama ada kerajaan negeri, mana-mana agensi atau jabatan berkaitan tidak pernah memperkenalkan kad pengenalan itu.
"Penggunaan kad pengenalan Johor seumpama itu tanpa merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Kerajaan negeri dan agendi di bawahnya tidak pernah memperkenalkan kad pengenalan ini," katanya.
Difahamkan, laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam pada petang Khamis.
Beberapa posting di laman sosial yang menjadi viral menunjukkan kad pengenalan yang tertera "identiti Bangsa Johor" dan meminta orang ramai untuk memohon bagi mendapatkannya.
Kad itu juga mencatatkan nombor identiti "Bangsa Johor". Sebagai tambahan, dokumen pengenalan diri itu juga berfungsi sebagai kad debit.
Di belakang kad itu tertera alamat pemiliknya dan nama waris termasuk pengesahan sebagai Bangsa Johor.