Suspek Sembur Cecair, Cuci Tangan Sebelum Larikan Diri
Mereka menyembur cecair beracun ke wajah mangsa sebelum pergi ke bilik air untuk mencuci tangan dan kemudian bergegas meninggalkan lokasi kejadian.
Itulah tindakan yang digambarkan dua wanita yang ditahan dalam siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin negara itu Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin lalu.
Insiden itu menjadi salah satu kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku dalam negara ini.
Dua suspek kes tersebut, Siti Aisyah yang juga warga Indonesia dan pemegang pasport Vietnam dengan nama Doan Thi Huong membawa sepasukan polis ke lapangan terbang tersebut kira-kira pukul 1 pagi Jumaat untuk melakonkan semula insiden serangan terhadap Jong-nam.
Difahamkan dua suspek itu membawa polis ke tingkat 3 balai berlepas dan memberitahu polis mengenai apa yang berlaku.
Kedua-dua suspek menyifatkan tindakan mereka menyembur cecair pada muka seorang lelaki yang didakwa tidak dikenali mereka.
"Mereka mendakwa meninggalkan lokasi kejadian sebaik sahaja selesai melakukan perbuatan itu," kata sumber sambil menambah wanita itu kemudiannya pergi ke bilik air berdekatan untuk mencuci cecair tersebut.
Namun tidak dipastikan sama ada wanita tersebut memakai sarung tangan atau menggunakan sehelai kain semasa melakukan serangan itu.
Siti Aisyah memberitahu polis bahawa dia ditawarkan wang tunai berjumlah AS$100 (RM445) oleh seorang lelaki untuk melakukan perbuatan itu yang disangka untuk tujuan prank (gurauan) ke atas seorang lelaki.
Lelaki yang membayarnya dan tiga lelaki lain - semua warga asing - dilihat dalam satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lapangan terbang itu bersama dengan Siti Aisyah dan Thi Huong.
Difahamkan polis sedang memburu empat lelaki tersebut yang dipercayai dalang di sebalik insiden pembunuhan Jong-nam.
Dalam satu perkembangan berasingan, Tinjauan The Star mendapati kakitangan sebuah hotel di mana Siti Aisyah menginap tidak mengenali suspek.
"Saya tidak boleh cam individu bernama Siti Aisyah di sini, lebih-lebih lagi dari Indonesia," kata seorang pelayan restoran yang tidak mahu namanya didedahkan.
Katanya, tiada ruang menunggu di hotel tersebut sekali gus menafikan Siti Aisyah bekerja di sana.
Kakitangan di spa hotel itu juga tidak mengenali Siti Aisyah.
- mSTAR