Awet muda walaupun berumur 49 tahun
Sekali pandang, pasti anda akan menyangka wanita ini berusia dalam awal 20-an disebabkan kulit mukanya yang licin dan bertubuh langsing.
Tetapi sebenarnya, wanita yang amat popular dalam kalangan netizen di China, Liu Yelin sudah berusia 49 tahun, namun sering disalah anggap sebagai wanita yang masih muda.
Mana tidaknya, tanpa sebarang kedutan pada kulit muka dan tubuhnya, Yellin amat dikagumi jutaan peminat yang tidak menyangka usia sebenarnya.
"Ramai orang selalu terkejut apabila mengetahui saya sudah berusia hampir 50 tahun.
"Setiap kali saya keluar membeli-belah dan memberitahu usia sebenar, pasti ramai orang akan menggerumuni saya untuk mengetahui rahsia awet muda," katanya kepada Mail Online.
Yelin yang sebelum ini dikenali sebagai Ye Wen, dilahirkan pada 1968 di Xinyang, wilayah tengah China, Henanm berkongsi rahsianya iaitu sentiasa bersenam untuk mengekalkan kejelitaan dan bentuk tubuh yang menarik walaupun usia hampir setengah abad.
Malah katanya, disebabkan rupanya itu, dia sering disalah anggap sebagai kekasih kepada anak lelakinya sendiri yang berusia 22 tahun.
"Pernah sekali saya menghadiri majlis perkahwinan bersama anak lelaki saya yang bekerja sebagai pembantu di sebuah syarikat perfileman.
"Ramai tetamu menyangka kami adalah pasangan kekasih," katanya.
Yelin mengakui dia jarang menggunakan alat kosmetik untuk mengekalkan kecantikan mukanya, sebaliknya hanya kekal melakukan senaman sejak 30 tahun lalu.
"Saya akan berenang di tasik dan mengangkat berat pada setiap hari.
"Menerusi senaman yang berat, saya berasa seperti berusia 15 tahun dan mahu kekal cantik sebegini sehingga usia 80 tahun" katanya.
- mSTAR