ECRL: Datang jumpa saya jika malu - Daim
Projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah dirunding semula menawarkan banyak peluang kepada kontraktor tempatan termasuk bumiputera terutama dalam kerja-kerja awam seperti pembekalan dan aspek teknikal, kata Tun Daim Zainuddin.
Wakil Khas Perdana Menteri dalam kejayaan rundingan semula projek ECRL bersama kerajaan China pada 12 April lepas itu berkata, peluang ini perlu direbut kontraktor tempatan kerana terlalu banyak pakej menarik yang ditawarkan dalam projek yang akan mengubah landskap ekonomi negara, dan menjadi kerugian jika ia dilepaskan begitu sahaja.
"Jika tiada keupayaan, kena kerjasama erat dengan pakar asing kerana terlalu banyak pakej ditawarkan. Malah tidak mustahil, penglibatan mereka akan lebih daripada 40 peratus jika kolaborasi itu berjaya. Saya nampak, mungkin dari sudut pembekalan dan teknikal. Jadi mereka ini perlu bersedia.
"Mereka perlu pergi berbincang dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), tunjuk kepakaran dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan. Ini tender antarabangsa, kena produktif, jangan tunggu peluang datang bergolek, jangan tunggu orang panggil, jangan kritik tanpa fakta, orang meniaga kena bergerak.
"Datang jumpa saya jika malu, saya akan bantu jika mereka betul-betul layak. Jangan mengharapkan kerajaan untuk datang kepada anda, anda sendiri yang perlu bersedia dan berjumpa dengan pemain industri," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabatnya di sini.
Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.
Pada 12 April, MRL dengan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.
Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion. Ia akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.
Pada 15 April, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian SA itu.
Mengulas lanjut, Daim berkata, projek mega untuk limpahan pelbagai pihak khasnya warga pantai timur itu, bukanlah projek gajah putih kerana melibatkan 70 peratus muatan kargo dan 30 peratus penumpang sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.
"Pastinya ini antara projek terbesar untuk warga Pantai Timur dan paling mahal pernah dibuat untuk membawa persamaan (kemajuan) antara barat dengan timur kerana selama ini mereka ketinggalan. Pantai Timur akan berubah berbanding sebelum ini, kita ada peluang dengan adanya ECRL.
"Malah saya sendiri telah berbincang dengan Menteri Besar Terengganu (mengenai prospek ECRL). Dan saya akan ke Kelantan nanti. Kita harap negeri-negeri terlibat ambil kesempatan dengan membuat pelbagai promosi untuk menarik pelabur.
"Ini peluang untuk ambil kesempatan dengan bijak kerana ia projek terbesar pernah diadakan di jajaran Pantai Timur yang kaya dengan budaya dan adat, makanan sedap, peluang pelaburan dan perniagaan. Kerana itu kena ambil kesempatan untuk kebaikan bersama-sama," katanya.
Tegasnya, antara bidang yang akan menerima manfaat dengan kewujudan ECRL ini adalah sektor ekonomi dan pelancongan yang pastinya akan melibatkan banyak peluang ekonomi dan pekerjaan baharu di setiap stesen dan perhentian.
"Kalau sebelum ini boleh berjaya di Pantai Barat, kenapa tidak lakukan perkara yang sama di Pantai Timur. Ini bakal mewujudkan kemajuan yang seimbang di Semenanjung Malaysia," katanya.
Jajaran baharu itu menyaksikan panjang landasan dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer, melalui lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan selain Putrajaya berbanding hanya empat negeri sebelum ini.
- BERNAMA