'Siapa ketuk pintu, jadi misteri penduduk kampung di Sabak Bernam'
Bunyi ketukan pintu yang kuat hingga mengejutkan penghuni rumah, mencetuskan tanda tanya dan menjadi misteri dalam kalangan penduduk beberapa kampung sekitar daerah ini sejak kelmarin.
Ketukan itu menimbulkan persoalan dengan pelbagai ulasan daripada netizen, antaranya mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab sengaja melakukan perbuatan itu hingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.
Difahamkan, gangguan ketukan itu berlaku pada waktu malam hingga awal pagi itu dan membabitkan beberapa kampung lain, antaranya Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting.
Penduduk Kampung Tengah, Nor Zaihana Yaakob, 38, mendakwa turut mengalami pengalaman sama ketika berada dua anak dan ibunya ketika berada di rumah.
"Mulanya saya ingatkan dua anak saudara pulang dari kerja. Namun, sangkaan itu meleset apabila tiada siapa di luar rumah sewaktu saya menjenguk menerusi tingkap.
"Seram jugalah dengan peristiwa ini. Tambahan pula, suami tiada di rumah kerana bekerja malam," katanya.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman, memaklumkan pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu.
Muhammad Nazri berkata, gangguan itu turut berlaku kepada dirinya ketika berada di rumah kira-kira 11 malam kelmarin.
"Difahamkan, hampir separuh penduduk kampung ini mengadu berkenaan kejadian (ketukan pintu) itu.
"Saya menasihatkan mereka agar berhati-hati dan tidak membuka pintu sekiranya terdengar bunyi mencurigakan," katanya.
Beliau berkata, penduduk dinasihatkan menghubungi polis atau pihaknya, selain jiran terdekat sekiranya ternampak individu mencurigakan.
"Kami kini mengambil tindakan dengan melakukan rondaan membabitkan sukarelawan MPKK bermula 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung ini," katanya.
Sumber : Berita Harian